Rabu, 28 Oktober 2015

FOKUS STPM P1 Bandingkan sistem feudal yang diamalkan di Jepun dengan sistem feudal yang diamalkan di England pada abad ke-16.

Sistem feudal merujuk kepada sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil kerajaan pusat. Di Eropah, sistem feudal dikatakan berasal dari empayar Rom dan di Jepun pula, sistem ini sudah bermula sejak zaman Kamakura. Terdapat persamaan dan perbezaan di antara sistem feudal yang diamalkan di England dengan di Jepun.

Persamaan sistem feudal yang diamalkan di England dan di Jepun dapat dilihat dalam beberapa aspek. Persamaan pertama ialah dari aspek sistem kelas di dalam masyarakat. Masyarakat terbahagi kepada dua iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada golongan bangsawan manakala golongan diperintah terdiri daripada petani, rakyat biasa dan hamba.

Persamaan seterusnya ialah, kurangnya berlaku mobiliti sosial di dalam masyarakat. Jarang berlaku perubahan status dalam masyarakat feudal. Sebagai contoh, jika dilahirkan sebagai anak petani, maka akan terus menjadi petani. Hal ini bertepatan dengan ciri  sistem feudal iaitu kedudukan seseorang adalah  berdasarkan sistem kelas atau hierarki.

Selain itu, masyarakat feudal di England dan Jepun sering berdepan dengan peperangan. Kehidupan masyarakat di kedua-dua negara agakhuru-hara. Situasi ini menyebabkan golongan knight di England dan samurai di Jepun memainkan peranan yang sangat penting. Kedua-dua golongan ini berkhidmat dan terikat dengan golongan bangsawan sebagai tentera. Peralatan perang yang digunakan juga sama iaitu kuda, pedang dan baju perisai.

Perbezaan di antara sistem feudal yang diamalkan di England dan Jepun pula boleh dilihat dari aspek binaan istana. Istana di Eropah dibina daripada batu manakala istana di Jepun diperbuat daripada kayu. Dari segi pemilikan tanah pula, golongan knight di Eropah mendapat tanah sebagai ganjaran atas perkhidmatan sebagai tentera. Di Jepun  pula, golongan samurai tidak memiliki tanah kerana daimyo membayar gaji samurai dalam bentuk beras.

Perbezaan seterusnya ialah dari aspek pengukuhan negara bangsa. Pengukuhan negara bangsa di England dilakukan oleh raja-raja Tudor yang memerintah dengan cekap. Di Jepun pula, penyatuan dan keamanan negara dilaksanakan oleh jeneral tentera. Dari aspek perundangan pula, masyarakat feudal di Eropah mengamalkan konsep undang-undang Rom yang menekankan hak, undang-undang dan kewajipan. Masyarakat feudal di Jepun pula dipengaruhi oleh etika China yang menekankan aspek moral melebihi undang-undang.


Jelas terbukti bahawa sistem feudal yang diamalkan di England dan di Jepun mempunyai persamaan terutama berkaitan sistem kelas masyarakat,  peperangan dan mobiliti sosial dalam masyarakat. Walau bagaimanapun terdapat  juga perbezaan dari aspek binaan istana, pemilikan tanah, penyatuan negara bangsa dan konsep perundangan.

Bandingkan ciri-ciri feudalisme yang diamalkan di Eropah dengan Jepun pada abad ke-16 hingga 17.

 Pendahuluan
- Sistem feudal ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil oleh kerajaan pusat. Dalam sistem feudal, kedudukan seseorang individu adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki.
- Persamaannya, feudal dilihat sebagai satu gabungan yang istimewa antara konsep pemusatan undang-undang diraja dan tradisi semula jadi sebuah organisasi dengan ikatan peribadi kesetiaan.
- Di Eropah, elemen ini datang dari empayar Rom dan latar belakang orang Jerman di Eropah Utara.Di Jepun, berakar umbi sejak ZamanKamakura.
Isi-isi penting
Persamaan
- Masyarakat dibina atas dasar keturunan atau sistem kelas. Golongan bangsawan berada di atas diikuti oleh tentera dan petani.
- Kurangnya perubahan status dalam masyarakat feudal atau kurangnya mobiliti sosial.
- Misalnya, jika dilahirkan sebagai anak petani maka dibesarkan sebagai petani, sedangkan anak-anak bangsawan akan tetap menjadi golongan bangsawan.
- Zaman feudal di Eropah dan Jepun sering dilanda peperangan.
- Keadaan ini menyebabkan golongan knight di Eropah dan samurai di Jepun mempunyai peranan yang penting pada zaman feudal. Kedua-duanya berkhidmat dengan golongan bangsawan dan terikat dengan undang-undang feudal. Night terikat dengan konsep chivalry, manakala samurai terikat dengan konsep bushido di Jepun.
- Peralatan peperangan yang digunakan oleh knight dan samurai ialah kuda, pedang, dan baju perisai.Baju perisai Eropah diperbuat daripada besi atau disadur dengan besi. Baju perisai Jepun pula diperbuat daripada logam atau sutera atau saduran logam. Knight memerlukan bantuan untuk menaiki kuda kerana baju perisai yang berat tetapi samurai tidak memerlukan bantuan.
Perbezaan
- Di Eropah, , pembinaan istana daripada batu melindungi knight dan vassal daripada serangan. Di Jepun, istana daimyo diperbuat daripada kayu.
- Evolusi yang berlaku dalam institusi feudal Jepun perlahan berbanding di Eropah.
- Eropah menghadapi zaman pengukuhan negara bangsa kerana kecekapan kuasa pusat dan raja-raja Tudor di England.
- Jepun telah disatukan dan keamanan diwujudkan tetapi tidak ada raja melainkan jeneral tentera yang menjadi perancang kesatuan.
- Konsep undang-undang Rom menekankan hak, undang-undang, dan kewajipan, iaitu hubungan antara mereka yang lahir bersama ikatan peribadi zaman feudal digunakan di Eropah. Zaman feudal Jepun dibayangi oleh penekanan etika China yang melebihi undang-undang dan lebih menekankan aspek moral berbanding undang-undang. Ini bermakna kekuasaan dan kesetiaan menjadi sesuatu yang mutlak.
- Perbezaan ketara ialah dalam pemilikan tanah.
Knight di Eropah mendapat tanah sebagai bayaran memberi perkhidmatan ketenteraan. Knight juga mengawal golongan petani yang bekerja di tanah-tanah mereka.
- Samurai tidak mempunyai tanah kerana daimyo mengenakan cukai ke atas petani untuk membayar gaji samurai dalam bentuk beras.
Penutup
- Terdapat persamaan dan perbezaan dalam pengamalan sistem feudal di Eropah dengan Jepun.

Sumber- Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2014),333.  

Isnin, 12 Oktober 2015

Bincangkan penglibatan United Kingdom dalam Komanwel.[20]

Pertubuhan Komanwel dibentuk pada tahun 1931(melalui Statute of Westminster) dan anggotanya terdiri daripada bekas tanah jajahan British yang telah merdeka. Pada akhir tahun 1950-an, kebanyakan bekas tanah jajahan di Afrika, Asia, Carribbean dan Pasifik yang mencapai kemerdekaan memilih untuk menyertai Komanwel. Mereka dibenarkan memilih jenis kerajaan sama ada berbentuk republik, monarki, atau menerima monarki British.

      Pertubuhan Komanwel begitu sinonim dengan United Kingdom.United Kingdom boleh dianggap sebagai "Pengasas" dan "ketua" Komanwel. Jika United Kingdom tidak bijak menjaga dan mengawal negara-negara bekas tanah jajahannya, sudah tentu hubungan United Kingdom dan tanah jajahannya akan lenyap begitu sahaja. Sememangnya pernah ada empayar lain seperti Belanda, Perancis, dan Portugal tetapi menjadi lemah dan terus lenyap. Hanya empayar British yang berjaya mewujudkan sebuah pertubuhan yang disertai oleh negara-negara bekas tanah jajahannya yang dahulu pernahditakluki tetapi sekarang mempunyai status yang sama dengan Britain.

      Komanwel bukanlah diwujudkan secara mendadak kerana pertubuhan ini berkembang dari empayar British, kemudian diberi nama Komanwel British dan sekarang diberi nama Komanwel. Kewujudan Komanwel mempunyai kaitan dengan niat dan cita-cita United Kingdom untuk membimbing tanah jajahannya ke arah berkerajaan sendiri seterusnya memberi kemerdekaan. Kebijaksanaan Pejabat Tanah Jajahan menguruskan bekas negara-negara yang dijajah mempunyai mekanisme tersendiri. Bekas tanah jajahan British tidak dipaksa untuk menyertai Komanwel dan ahli-ahlinya adalah bebas untuk menarik diri pada bila-bila masa. Myanmar meninggalkan Komanwel pada tahun 1948 dan Republik Ireland meninggalkan pertubuhan ini pada tahun 1949'

      Keanggotaan dalam Komanwel bukan secara automatik, ertinya bekas-bekas tanah jajahan British tidak semestinya diterima terus menjadi anggota setelah mencapai kemerdekaan. Sesebuah negara perlu memohon untuk menjadi ahli. Selain daripada itu, negara-negara anggota perlu menerima Queen sebagai simbol perpaduan dan Ketua Komanwel. Syarat seterusnya ialah negara-negara anggota yang berhasrat untuk menukarkan status monarki menjadi republik, maka negara tersebut mestilah memaklumkan kepada negara-negara anggota yang lain.


      Negara-negara anggota juga disyaratkan supaya bersedia untuk bekerjasama dengan ahli-ahli demi kepentingan bersama. Semasa Persidangan Perhubungan Komanwel di Lahore, Pakistan pada tahun 1954, dua syarat lagi dicadangkan, iaitu mempunyai sistem parlimen dan berkemampuan untuk mentadbir negara. Satu lagi keunikan Komanwel ialah kebijaksanaan United Kingdom mengekalkan legasi monarkinya menjadi ketua negara dalam kalangan negara-negara Komanwel yang merdeka. Lebih kurang 16 buah negara anggota Komanwel memilih untuk mengakui Queen (Raja Inggeris) sebagai ketua negara. Di setiap negara tersebut, diwakili oleh Gabenor Jeneral. Di sesetengah negara, Gabenor Jeneral terdiri daripada anak tempatan.

Khamis, 1 Oktober 2015

Penglibatan dan kerjasama United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam NATO.

Oleh-AHMAD BN YAAKOB
Menurut Zulkarnain Abdul Rahman, dalam konteks penubuhan NATO dua perkara yang perlu diketengahkan iaitu Britain memainkan peranan utama dalam proses pembentukan NATO.Kedua, penubuhan NATO dianggap antithesis kepada PBB yang dilihat tidak berupaya memainkan peranan sebagai satu pertubuhan yang boleh mengekang atau menyelesaikan sebarang konflik secara berkesan. Ini kerana PBB tidak memiliki sebuah pasukan tentera tersendiri.
      Britain dikatakan memainkan peranan utama dalam proses pembentukan NATO. Sekiranya dirujuk kepada koleksi surat-surat peribadi Ernest Bevin, setiausaha Luar Britain dari tahun 1946 hingga 1951, dan dokumen yang dihasilkan oleh Foreign office, pihakBritish sememangnya menyusun strategi dengan mengetengahkan peranan besar Amerika Syarikat dalam proses penubuhan NATO. Ini bermakna, pihak British berjaya untuk tidak menonjolkan peranan mereka walaupun pihak British merupakan key player dalam proses pembentukan NATO.[1]
      Dalam hal ini, Britain yang ketika itu diterajui oleh Parti Buruh telah menyusun pelbagai strategi bagi memastikan pertubuhan antarabangsa yang bakal dibentuk akan turut disertai oleh Amerika Syarikat. Berdasarkan pengalaman Britain, sesuatu pertubuhan itu kurang berkesan jika tidak disertai oleh Amerika Syarikat seperti yang berlaku ke atas Liga Bangsa.

      Andrew Priest dalam bukunya, Kennedy, Johnson and NATO: Britain, America and the Dynamics of Alliance, 1962 - 68, menyatakan bahawa Ernest Bevin, Setiausaha Luar Britain dipertanggungjawabkan untuk Educating the Americans bagi menghadapi ancaman Soviet Union khususnya selepas tahun 1945.

      Ritchie ovendale pula menegaskan bahawa Presiden Harry S. Truman masih belum bersedia menghadapi ancaman Soviet Union di Eropah dan pihak United Kingdom perlu membuat perancangan jangka paniang penglibatan Amerika Syarikat dalam soal keselamatan di Eropah khususnya. Oleh itu, kewujudan NATO adalah bertepatan dengan perkembangan politik antarabangsa ketika itu.

      Sesungguhnya Perang Dingin telah menyebabkan hubungan  antara United Kingdom dan Amerika Syarikat menjadi lebih akrab. Hubungan di antara kedua-dua kuasa besar dalam bentuk bilateral boleh dilihat dalam tiga bentuk;
(a) perundingan diplomatik. walaupun hubungan kedua-dua negara nampak kompleks namun membuka banyak ruang perundingan dan perbahasan pelbagai peringkat birokrasi.
(b) Kerjasama ketenteraan. Kerjasama bilateral semakin rancak khususnya tentera udara dan tentera laut.
(c) Perisikan. Kerjasama perisikan menguntungkan kedua-dua pihak khususnya antara Federal Bureau of Investigation (FBI) dart central Intelligence Agency (ClA) di pihak Amerika Syarikat dan M16 secret lntelligence service (SIS) dan M15 Security Service di pihak Britain

      Bagaimanapun hubungan antara united Kingdom dan Amerika Syarikat terjejas sedikit kesan pengenalan Atomic Energy Act of 1946 (McMahon Act) yang melarang Amerika Syarikat mengadakan kerjasama nuklear dengan negara-negara lain kerana dibimbangi berlakunya percambahan aktiviti pembinaan senjata nuklear di tempat-tempat lain.

     Pengenalan akta tersebut mengecewakan Britain kerana Britain bercita-cita membangunkan senjata nuklear dan ingin mendapatkan kerjasama daripada Amerika Syarikat. Britain akhirnya membuat keputusan sendiri untuk membangunkan senjata nuklear. Beberapa siri rundingan telah diadakan dengan Amerika Syarikat yang bertujuan mendapatkan maklumat dan kepakaran berkaitan proses membina senjata nuklear. Akhirnya pada tahun 1952, Britain berjaya menghasilkan empat senjata nuklear di belakang Amerika Syarikat (128) dan Soviet Union (16).Berkaitan dengan kelemahan PBB pula, persoalan yang timbul ialah pihak atau negara mana yang akan mengetuai misi ketenteraan PBB dan negara mana yang akan membiayai segala perbelanjaan sepanjang misi ketenteraan PBB.[2]

      Implikasinya ialah kuasa-kuasa besar dunia yang merupakan anggota Majlis Keselamatan PBB yang memiliki kuasa veto ketika itu selalunya lebih banyak bersetuju untuk tidak bersetuju dalam menangani mana-mana konflik antarabangsa. Soviet Union sering dipersalahkan dan dilihat sebagai tidak demokratik, tidak menghormati hak asasi manusia, dan tidak menghormati kebebasan inidividu sebagaimana yang dipraktikkan di Eropah.

      Soviet Union didakwa oleh pihak Barat lebih komited untuk melebarkan pengaruh politik yang berideologikan komunisme di Eropah atau di Asia. sikap Soviet Union dilihat sebagai penghalang utama bagi kuasa-kuasa besar dunia mencapai kesepakatan dalam PBB bagi menangani isu-isu antarabangsa.

     Perkembangan politik antarabangsa seperti ini sepanjang tahun 1945 hingga tahun 1949 menyebabkan Britain dan Amerika Syarikat mengambil inisiatif untuk menubuhkan NATO. Soviet Union pula memberi satu persepsi bahawa NATO ialah Amerika Syarikat dan Amerika Syarikat ialah NATO. Ini bermakna NATO didominasikan oleh Amerika Syarikat berbanding negara-negara lain.

      Komitmen berterusan Amerika Syarikat dalam NATO dilihat sebagai kunci keseimbangan, keutuhan, dan kestabilan NATO sebagai institusi yang berperanan memelihara keamanan dan keselamatan dunia secara praKtikal bukan sekadar di Eropah sahaja malah di seluruh dunia.Tentera Amerika ditempatkan di Jerman dan Turki selepas Perang Dunia Kedua supaya komunisme dapat disekat.[3]

     Pandangan seorang ahli psikologi, Jerome Bruner pada tahun 1944 mungkin relevan. Beliau berpendapat bahawa orang Amerika tidak akan menyertai sepenuhnya sesuatu organisasi yang tidak boleh dikuasai mereka. Mereka ialah ahli NATO yang setia (seperti juga mereka sebagai ahli PBB yang setia), dan dalam masa yang sama mereka cenderung bertanyakan apa yang boleh dilakukan oleh NATO dan PBB untuk Amerika Syarikat daripada apa yang Amerika Syarikat boleh lakukan untuk kedua-dua organisasi itu. Lama kelamaan, jika NATO tidak ingin merosot, sesuatu yang lebih, perlu diberikan kepada Amerika Syarikat daripada ahli-ahli yang lain.[4]



[1] Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2014),328.   
[2] Ibid, 329.
[3] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2015),478.    
[4]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1 ,330.

Bincangkan matlamat penubuhan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).20m

Pendahuluan
. Penubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 4 April 1949 bertujuan untuk mewujudkan sistem pertahanan bersama yang melibatkan semua negara anggotanya.
. Pertubuhan ini juga berperanan untuk memelihara kedaulatan negara-negara anggota dan membendung pengaruh komunis yang disebarkan oleh Soviet Union.
Isi-isi Penting
(a) Menyekat komunisme
. Faktor utama penubuhan NATO adalah untuk membendung penyebaran fahaman komunis yang diterajui oleh Rusia.
. Rusia berjaya menyebar dan mengukuhkan pengaruh komunis di negara-negara Eropah Timur.
Perkembangan ini membimbangkan Amerika Syarikat dan Britain.
(b) Menyekat dasar ketenteraan Rusia
. Selain menyekat perluasan ideologi komunis, NATO ditubuhkan bagi menyekat dasar ketenteraan Rusia di Eropah.
. Rancangan Rusia memperbesar kekuatan tentera bagi mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya menimbulkan kebimbangan Amerika Syarikat.
(c) Menghalang kebangkitan Jerman
. Kebangkitan Jerman selepas Perang Dunia Kedua merupakan salah satu faktor yang mendorong penubuhan NATO.
. Kebangkitan Jerman melahirkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Eropah seperti Britain dan Perancis; dikhuatiri mencetuskan pergolakan dunia.
(d) Penglibatan Amerika Syarikat
. Penubuhan NATO bertujuan melibatkan secara langsung Amerika Syarikat dalam hal ehwal
ketenteraan dan politik di benua Eropah.
. Penyertaan Amerika Syarikat dalam NATO bertujuan untuk memastikan pertubuhan ini memainkan peranan dengan lebih efektif dan berkesan.
. Umpamanya, tentera Amerika Syarikat ditempatkan di Jerman dan Turki selepas Perang Dunia Kedua supaya komunisme dapat disekat.
(e) Mengambil alih peranan PBB
. Penubuhan NATO bertujuan untuk mengatasi ketidakyakinan Eropah terhadap kemampuan PBB dalam menangani konflik dunia.
. PBB tidak berupaya memainkan peranan sebagai pertubuhan yang boleh mengekang sebarang konflik dengan berkesan kerana tidak memiliki pasukan tentera sendiri.
Kesimpulan
. NATO yang ditubuhkan pada era awal Perang Dingin tidak dibubarkan meskipun Perang Dingin sudah berakhir.
. Sebaliknya era pasca Perang Dingin menyaksikan NATO terus wujud dan kuasa-kuasa besar dunia yang berada dalam pertubuhan ini terus menyusun strategi bersaing sesama sendiri bagi mengukuhkan pengaruh masing-masing.

SUMBER- Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2015),478.