Rabu, 26 Julai 2017

Sistem Ekonomi Feudalisme di Perancis pada abad ke-16-18.

Oleh- AHMAD BIN YAAKOB
1.Ekonomi pertanian
Masyarakat Perancis masih bergantung kepada bidang pertanian pada awal abad ke-16. Kemewahan masyarakat masih diukur dari keluasan ladang yang dimiliki. Masyarakat masih lagi tinggal di desa berbanding di bandar.[1]

Sepanjang abad ke-16 hingga 18, Perancis muncul sebagai sebuah negara yang kuat dengan mengamalkan ekonomi feudalisme. Raja-raja Perancis bermula dari Louis XIV hingga Louis XVI mengekalkan sistem ekonomi feudalisme untuk mengukuhkan kekuasaan mereka. Pada era ini golongan bangsawan mempunyai kedudukan yang dominan dalam sistem ekonomi negara.Ketika ini rejim Perancis didominasi golongan bangsawan yang memiliki kuasa kewangan dan politik.

      Golongan bangsawan mendapat faedah dalam sistem ekonomi feudal dengan melabur dalam tanah, memiliki estet yang banyak , menjadi tuan tanah atau manor dan mengusir petani daripada tanah yang mereka usahakan.Masyarakat yang muncul waktu ini dianggap feudal kerana ketidaksamaan sosial kekal dalam masyarakat dan membenarkan hak milik tradisional kekal dari segi perundangan.[2]

      Tuan tanah golongan bangsawan yang menjadi tuan tanah.Petani menjadi hamba atau serf.[3] Petani yang menjadi serf pada abad ke-18 ialah seramai 1.5 juta orang daripada keseluruhan penduduk seramai 15 juta orang. Sebahagian besar petani ialah orang bebas dan mereka memiliki tanah yang mereka usahakan. Walaupun petani ini bebas tetapi mereka dikehendaki menunaikan obligsi  yang diwarisi sejak zaman pertengahan (500-100M). Salah satu dari kewajipan ialah pembayaran sewa tahunan kepada tuan tanah yang sebelumnya mempunyai kekuasaan atau hak milik atas tanah petani.

      Terdapat juga petani yang menjadi penyewa atau buruh yang diupah tuan tanah.[4]Masyarakat petani kini digelar metayers. Metayers mula mempelbagaikan pekerjaan, bukan hanya bercucuk tanam sahaja, tetapi mula mengusahakan penternakan lembu daging dan lembu susu serta menjualnya ke pasar-pasar. Mereka juga menggunakan kaedah moden dalam pertanian.[5]

      Pada zaman Raja Henry, beliau memerintah menterinya Duke Sully memberi tumpuan kepada bidang pertanian. Duke Sully merupakan Menteri Kewangan dan pemikir ekonomi. Idea dan pembaharuan beliau banyak digunakan untuk memajukan pertanian di Perancis. Antara pembaharuan yang dicadangakan beliau ialah menghapuskan cara kebiasaan petani di kawasan pedalaman, memberi bijih benih percuma, membiayai kegiatan penternakan, melarang pemusnahan hutan rimba dan mengeringkan paya serta membina jalan raya, jambatan dan sistem terusan.

     Pembaharuan tersebut membuahkan hasil apabila sumber pertanian bijirin dan anggur merah Perancis menjadi bahan dagangan utama yang didagangkan di pelabuhan Bruges, Belanda.

      Penanaman pokok mulberi dan penternakan ulat sutera diusahakan olehRajaHenry Iv telah meningkatkan ekonomi rakyat dan membawa perkembangan bandar Paris, Lyon dan Marseilles. Pada zaman Raja Louis XIV, menterinya, Jean Baptiste Colbert memajukan bidang pertanian. Dasar pertanian Colbert; tidak membenarkan peralatan pertanian dirampas hanya kerana petani mempunyai hutang, menggalakan penternakan lembu dan kuda dan membaiki jalan raya di kawasan pedalaman.   
     
2.Perdagangan
Kepesatan perdagangan di Perancis dapat dilihat pada masa pemerintahan Raja Henry IV 1598-1610. Baginda telah menubuhkan sebuah angkatan laut bagi melindungi perdagangan di Perancis. Seterusnya Perancis mula menerajui perdagangan di seberang laut dan bersaing dengan Belanda dan British. Perancis mula membuka pusat perdagangan di India dan Amerika Utara.

      Pada tahun 1620-an, Perancis membuka petempatan di Hindia Barat dan pangkalan di Chandernagore, Timur India.Pembukaan pangkalan ini meningkatkan perdagangan Perancis di luar negara. Perkembangan perdagangan dalam negara turut berlaku di Perancis. Kawasan Utara Perancis seperti Champagne, Lyon dan Beaucaire muncul sebagai bandar perdagangan antara Eropah Utara dan pedagngan Mediterranean.Perkembangan ini turut mempengaruhi pertambahan penduduk dan kewujudan perusahaan kecil-kecilan.
3.Institusi kewangan
Perkembangan perdagangan turut dipengaruhi oleh faktor perkembangan sistem kewangan. Pada tahun 1500 wang tidak perlu dibawa dengan banyak untuk melakukan urusan perdagangan. Keadaan tersebut memudahkan perdagang dan pengeluar mengawal dan memasarkan barangan bebas.

      Urusan pengutipan cukai juga mudah dilaksanakan. Misalnya, 200 cukai berjaya dikutip dalam satu masa di 120 tempat yang berlainan di Sungai Loire dan daerah-daerah yang lain. Sistem perbankan di Perancis hanya berkembang pesat pada abad ke-18. Contohnya pembukaan Paris Bourse pada tahun 1724, Casse d’Escompte pada tahun 1776 dan Loterie Royale pada tahun 1783.  Syarikat Joint-stock   berkembang pada pertengahan abad ke-18. Pada tahun 1788 syarikat Perancis memperkenalkan insuran kebakaran.[6]

4.Industri
Industeri tekstil diusahakan secara besar-besaran pada abad ke-16 untuk pasaran dalam negeri dan dieksport. Kain dan teknik pengeluaran sutera yang diimpot dari China ke Eropah oleh perdagangan Arab pada abad ke-10 di Itali telah berkembang luas ke seluruh Eropah. Perancis telah mengusahakan perusahaan sutera dan tidak lagi bergantung kepada kain impot dari Asia  dan Persia. Industri perusahaan kain berkembang di Tuscany, Utara Perancis. Industri desa ini berkembang pesat di Utara Perancis 1450-1550. Petani desa mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Masyarakat bandar pula menggunakan mesin untuk mewarna dan memutihkan kain dan kemudian memasarkannya.

Di Perancis industri pertukangan juga berkembang iaitu tukang yang berkelayakan akan bekerja tanpa menerima upah selama beberapa tahun di rumah guru atau ahli pertukangan sebelum membuka pusat pertukangan sendiri apabila mereka kembali ke tempat asalnya. Mereka akhirnya menubuhkan kesatuan tukang untuk menjaga hasil pertukangan mereka. Barangan pertukangan Perancis seperti perabut telah mendapat tempat di pasaran pada tahun 1770.
    Perkembangan perdagangan dan galakan daripada kerajaan telah mengukuhkan kedudukan golongan saudagar. Keadaan ini membolehkan golongan saudagar muncul sebagai satu kuasa politik dan mula   menyaingi kedudukan golongan aristokrat dalam bidang politik.[7]





[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2015),170.
[2]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2013),hlm.205. 
[3]dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)32 
[4]Ibid.
[5]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,171.
[6] Ibid,175.
[7] Ibid, 176

Tiada ulasan:

Catat Ulasan