Isnin, 2 November 2015

Terangkan sistem pemerintahan beraja mutlak yang diamalkan di England pada abad ke-16 hingga 17.

Sistem pemerintahan beraja mutlak bermaksud sistem kerajaan di mana cara pemerintahan raja tidak dikawal oleh parlimen. Melalui sistem ini, kehendak pemerintah ialah undang-undang. England berada dalam pemerintahan sistem beraja mutlak sejak abad ke-15 lagi. Raja Henry VII telah mengasaskan sistem beraja mutlak pada tahun l485 dan pemerintahan ini terus diamalkan sehingga tahun 1603. Pemerintahan sistem beraja mutlak terus diamalkan oleh Dinasti Stuart dari tahun 1603 sehinggalah berlakunya Revolusi Cemerlang di England.

      Sistem pemerintahan beraja mutlak memperlihatkan raja mempunyai kuasa dalam segala hal dan raja menguasai pemerintahan negaranya. Raja England berpegang pada prinsip doktrin kuasa suci raja atau 'Devine Right of King'.Raja mendakwa bahawa mereka hanya menjawab kepada Tuhan dan bukannnya kepada manusia yang lain terutamanya wakil rakyat di parlimen.

      Ini bermakna semua institusi pemerintahan seperti parlimen, mahkamah, dan gerejadiwujudkan untuk berkhidmat kepada raja dan bukannya berkongsi kekuasaan dengan raja.Oleh itu, perbuatan raja tidak boleh ditentang walaupun raja bertindak zalim. Kezaliman raja adalah untuk menghapuskan kejatatan manusia. Oleh itu, rakyat perlu patuh dan taat kepada raja.Dasar ini dapat dilihat semasa pemerintahan Raja James I (1603 -1625 ) dan Raja charles I (1625 -1649).

Kekuasaan raja juga diperlihatkan dengan penguasaan ekonomi. Buktinya, semasa pemerintahan Raja James I yang memberi hak monopoli dan keistimewaan kepada syarikat yang disukainya. Hal ini menyebabkan syarikat tersebut dapat memonopoli kegiatan perdagangan dan perniagaan raja James I mempunyai hak dan kuasa dalam soal pungutan cukai dan kewangan. semasa pemerintahan Raja charles I, baginda memperkenalkan pelbagai cukai dan menubuhkan pelbagai agensi pemungut cukai. Baginda turut terlibat dalam urusan ekonomi secara langsung dengan menjual hak monopoli barangan pengguna seperti arak, sabun, dan garam dengan harga yang mahal.

     Raja juga bertindak menguasai parlimen dalam pemerintahannya.Sistem pemerintahan di England menyaksikan bahawa pemerintahan raja-raja Dinasti Turdor berpegang kepada Magna Carta, iaitu sebuah piagam politik yang mengawal kuasa raja. Namun, raja-raja Tudor yang memerintah England berjaya mengawal dewan Parlimen.

      Pada era pemerintahan Dinasti Stuart, Raja James I telah membubarkan parlimen dan Raja Charles I pula telah membelakangi parlimen dalam soal pungutan cukai. Baginda menahan mana-mana ahli parlimen yang membantah tindakan baginda serta meletakkan tentera di sekeliling rumah ahli parlimen yang menentangnya. Raja Charles I turut membubarkan parlimen dan menjalankan pemerintahan secara mutlak selama 11 tahun tanpa parlimen.

      Raja juga berkuasa dalam bidang keagamaan. Semasa pemerintahan Raja Charles I, baginda bertindak melantik Bishop Besar Wiliam Laud sebagai ketua gereja kebangsaan. Raja Charles I telah mengubah beberapa dasar keagamaan. Antara dasar keagamaan yang dilonggarkan ialah sekatan undang-undang yang dikenakan terhadap penganut mazhab Katolik. Bishop Besar juga mengenakan sekatan dan memperketatkan larangan terhadap golongan puritan untuk menjalankan aktiviti dan kepercayaan mereka.


      Sistem pemerintahan beraja di England tamat apabila berlaku Revolusi Cemerlang  dan peralihan kuasa. Menerusi Glorious Revolution, Raja James II disingkirkan daripada takhtanya dan diganti oleh Mary II serta suaminya William of Orange. Selepas itu, sistem beraja mutlak di England berubah menjadi sistem raja berperlembagaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan