Selasa, 31 Mei 2016

Unit 2.1.2 Pembesar di China

TAJUK 2:PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN.
Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Unit 2.1.2 Pembesar di China dan Rusia
Membandingkan peranan pembesar dalam pemerintahan China dan Rusia abad ke-16-20 (1500-1999)
1.a)Konsep pembesar
Institusi pemerintahan di China dan Rusia memperlihatkan raja atau Maharaja melaksanakan pemerintahan dengan bantuan dan sokongan institusi pembesar. Umumnya golongan pembesar ialah pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau Maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan semua bidang tugas yang telah diberikan atau diarahkan kepadanya. Kamus Dewan pula mentakrifkan pembesar bermakna orang yang berpangkat tinggi. Oleh yang demikian dalam sistem pemerintahan beraja dan Maharaja pembesar sangat penting dan berada pada aras kedua selepas kedudukan raja atau maharaja.[1]
Pembesar juga berperanan penting dalam sistem pentadbiran monarki dan merupakan tulang belakang kepada maharaja. Pembesar membantu maharaja dalam pemerintahan dan pentadbiran. Pembesar dilantik secara rasmi oleh maharaja.[2]
b)Kedudukan pembesar di China
Pembesar di China berada pada aras kedua selepas maharaja.Mereka terdiri dari golongan bangsawan dan sarjana. Golongan pembesar di China  terdiri daripada individu yang menerima pendidikan Confucius dan perlantikan mereka adalah berdasarkan pencapaian dalam Peperiksaan Perkhidmatan Awam. Golongan cerdik pandai diberi keutamaan dalam menjawat jawatan pembesar di peringkat wilayah.Selain golongan cerdik pandai/mandarin pembesar juga terdiri daripada ketua-ketua tentera.Mereka mendapat kedudukan istimewa dalam sistem pemerintahan di China.Ini kerana maharaja juga terpaksa bergantung kepada mereka untuk menjalankan pentadbiran. [3]

c)Peranan pembesar di China
1.Peringkat pusat.
Terdapat tiga fasa pentadbiran iaitu pentadbiran awam, tentera dan tempatan.Pembesar memegang jawatan penting dan membantu maharaja dalam pentadbiran di peringkat pusat.Mereka berkhidmat dalam jabatan kerajaan. Mereka menganggotai Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi (Enam Badan Menteri) dan Lembaga Penapis.[4]Mereka memengang jawatan dalam Jabatan Kerajaan seperti Jabatan Awam, Jabatan Hukuman, Jabatan Perkhidmatan,Jabatan Hasil dan Cukai dan Jabatan Upacara dan Istiadat.[5]
2.Peringkat wilayah
Gabenor dilantik untuk mentadbir wilayah. Gabenor diberi kuasa autonomi dalam pentadbiran wilayah.Gabenor berperanan memelihara keamanan dan mengutip cukai daripada penduduk.Gabenor dibenakan untuk menubuhkan pasukan tentera masing-masing.[6] Gabenor berhubung langsung dengan pemerintah peringkat pusat.[7]
3.Ketua tentera
Ketua tentera bertangungjawab memastikan keamanan wilayah. Mereka mendapat tempat istimewa dalam kerajaan.
4.Golongan inteletual (gentry)
Mereka mendapat pendidikan Confucius dan lulus dalam Peperiksaan Perkhidmatan Awam.Mereka diberi keutamaan dalam menjawat jawatan kerajaan dan di istana.[8]




[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2015),110.
[2]“Pembesar”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,56.
[3]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar,Edisi Kedua 2015),.98.
[4]“Pembesar”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,56
[5]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar,Edisi Kedua 2015),.98.
[6] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955, Edisi Ketiga (Shah Alam: Oxford Fajar, 2016),.104
[7]“Pembesar”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,57.
[8]Ibid.

Isnin, 30 Mei 2016

INSTITUSI MAHARAJA DI CHINA ABAD KE-16-20 (1500-1999)

TAJUK 2: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN
OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Menjelaskan  kedudukan dan peranan Maharaja China dalam pemerintahan.
a)Konsep raja dan Maharaja
Sekitar abad ke-16-20 China diperintah oleh Dinasti Ming (1368-1644) dan kemudiannya oleh Dinasti Ching (1644-1911) Pemerintahan yang diamalkan oleh kedua-dua dinasti ini bercorak autokrasi. Sistem petandbiran yang diamalkan merupakan warisan daripada dinasti yang terdahulu.[1]Dalam sistem pemerintahan beraja, Maharaja China menduduki hierarki teratas dalam struktur sosial. Maharaja mempunyai kuasa yang cukup besar.Konsep beraja menjadi penentu kepada maharaja dalam mempertahankan pemerintahannya.[2]
b)Kedudukan Maharaja
Konsep mandate of heaven atau mandat dari syurga menerangkan Maharaja sebagai wakil darisyurga atau anak syurga dan memberi kuasa spritual yang tidak terhingga kepada seseorang raja atau maharaja.Konsep mandat ini menjelaskan Tuhan telah menganugerahkan ke atas raja  atau maharaja satu kuasa untuk memerintah dan sehingga kuasa tersebut ditarik balik, tiada kuasa lain yang boleh mendakwa baginda atas segala tindakan baginda.[3] Melalui konsep ini Maharaja menduduki hierarki tertas dan paling berkuasa dalam kerajaan. Maharaja juga mendapat penghormatan tertinggi.[4]
c)Peranan Maharaja
1.Politik
a)Ketua pemerintah berkuasa mutlak.
Maharaja China berkuasa mutlak dan berperanan penting dalam urusan dasar luar negara, ketua perundangan, eksekutifdan kehakiman dan dibantu oleh Jabatan Setiausaha Tinggi dan Majlis Tertinggi Jabatan Penapis (pasukan perisikan raja) memutuskan dasar kerajaan.
b)Melantik pembesar
Maharaja berperanan melantikdan melucutkan jawaan pegawai-pegawai kerajaan dan melantik pembesar diperingkat pusat dan wilayah.
c)Ketua tentera
Maharaja bertanggugjawab memastikan keamanan negara, mengetuai angkatan tentera dalam medan peperangan meluaskan emapayar semasa peringkat awal Dinasti Ming.
d)Ketua hakim/perundangan .
Setiap rahan Maharaja menjadi undang-undang.
2.Ekonomi
a)Memajukan ekonomidengan mengamalkan Dasar Tutup Pintu serta menguasai semua sumber ekonomi negara seperti pungutan cukai/ufti dan menetukan sistem sukatan dan timbangan.
b)Berkuasa ke atas tanah kerana merupakan hak raja.
3.Sosial
a)Ketua adat-istiadat.
Adat kow-tow dan memastikan alat-alat kebesaran Diraja sentiasa dijaga.
b)Pemimpin inteletual
Maharaja merupakan pemimpin intelektual istana sebagai pusat perkembangan ilmu dan istana sebagai pusat peperiksaan awam kerajaan.
4.Agama
a)Ketua agama
Maharaja ketua agama Buddha, Taoismedan Confucius dan memastikan rakyat patuh ajaran agama serta memastikan agama tidak dicemari dengan pengaruh agama luar seperti agama Kristian.[5]





[1]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar,Edisi Kedua 2015),.63.
[2]“InstitusiPemerintahan Raja/Maharaja”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013)50 .
[3]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,(Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi 2015),72.
[4]InstitusiPemerintahan Raja/Maharaja”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,50.
[5]Ibid,51. 

1 HURAIKAN CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI DI JERMAN PADA ABAD KE 18 – 19.

PENGENALAN
Revolusi perindustrian di Jerman berlaku pada tahap kedua di Eropah, iaitu berlakunya selepas Revolusi Perindustrian di England. Revolusi di Jerman bermula pada tahun 1860an hingga 1914. Bagi memajukan perindustrian, kerajaan Jerman telah memberikan tumpuan untuk memajukan kemudahan infranstruktur seperti sistem pengangkutan dan komunikasi. Kepesatan dalam bidang industri telah membawa kesan yang besar ke atas masyarakat di Jerman. Perubahan –perubahan yang berlaku telah mengubah ciri masyarakat daripada  feudal kepada masyarakat industri. Antara ciri masyarakat industri di Jerman ialah lahirnya masyarakat urban, muncul kelas masyarakat baru, berlakunya mobiliti sosial, lahir masyarakat berpendidikan, munculnya masyarakat yang mempunyai pengkhususan pekerjaan, masyarakat yang memberikan tumpuan kepada kegiatan ekonomi berasaskan industri, perubahan gaya hidup masyarakat  dan masyarakat yang mempunyai semangat keusahawanan.
 ISI

1.      Masyarakat Urban /Bandar

Masyarakat industri ialah masyarakat yang tinggal di bandar-bandar seperti
London , Manchester, Liverpool dan Munich. Dalam hal ini, selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah, masyarakat luar bandar telah berhijrah secara beramai-ramai ke bandar-bandar dan mereka bekerja di kilang-kilang. Fenomena ini menyebabkan kemunculan proses pembandaran khususnya di bandar-bandar perindustrian. Per kembangan ini menyebabkan berlaku per tambahan penduduk secara mendadak di kawasan-kawasan bandar. Kesannya, penghijrahan secara beramai-ramai telah mengakibatkan kesesakan yang teruk di bandar-bandar industri tersebut.

Revolusi industri telah memberi impak yang cukup besar terhadap pertumbuhan penduduk di Eropah terutama nya England. Populasi penduduk Eropah berkembang pada kadar yang perlahan pada awal kurun ke-18 tetapi mula menunjukkan pertumbuhan yang agak pesat pada tahun 1780. Menjelang kurun ke-18, populasi penduduk Eropah telah meningkat pada kadar tertinggi. England merupakan contoh terbaik bagi melihat pertumbuhan positif penduduk ini kerana pada tahun 1688, jumlah penduduk di England hanyalah 5.5 juta orang tetapi menjelang tahun 1801, populasi penduduk di England bertambah menjadi 9 juta orang dan pada tahun 1851, jumlah ini meningkat lagi menjadi 18 juta orang iaitu peningkatan sekali ganda berbanding 50 tahun sebelumnya.

Industrilisasi dan pertumbuhan penduduk saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Bekalan makanan dan peluang pekerjaan yang lebih baik menggalakkan orang untuk berkahwin pada usia yang lebih muda dan memperolehi anak yang ramai. Kadar kelahiran yang tinggi bermakna jumlah kanak-kanak juga ramai dan seterusnya menyumbang kepada bekalan buruh kanak-kanak yang menjadi tenaga penting di lombong-lombong arang batu. Pada kurun ke-19, kanak-kanak yang berusia kurang daripada 15 tahun adalah seramai 40 peratus daripada penduduk seluruh Britain. Pertumbuhan penduduk yang pesat di kawasan-kawasan industri Eropah juga disebabkan oleh proses migrasi yang berlaku. Berjuta-juta orang melakukan migrasi atau perpindahan semasa berkembangnya revolusi industri dengan ada di antara mereka yang berpindah dari kampung ke bandar dengan harapan mencari pekerjaan ataupun mencari kehidupan yang lebih baik.

Sebelum penyatuan Jerman, ¾ daripada penduduk Jerman menetap di bandar. Hanya terdapat  lapan buah bandar dengan penduduk melebihi 100,000 orang pada tahun 1871 tetapi ianya telah meningkat kepada 48 buah bandar pada tahun 1910 dan peningkatan ini telah membantu industri Jerman.

2.      Masyarakat Yang Menggunakan Teknologi Moden

Masyarakat di England dan Jerman merupakan masyarakat yang menggunakan peralatan-peralatan moden  hasil daripada kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Dalam hal ini, terdapat minat yang mendalam untuk menerapkan unsur-unsur sains dan teknologi dalam bidang perindustrian dan hal ini memungkinkan pengenalan beberapa rekaan dan ciptaan peralatan-peralatan moden  seperti mesin-mesin. Penciptaan mesin-mesin ini menyebabkan perkembangan kegiatan perindustrian di mana hasil hasil ini dipatenkan untuk mengelakkan peniruan daripada orang lain.

 Dalam hal ini, pelbagai mesin telah direka oleh ahli sains seperti enjin wap yang dihasilkan daripada penghasilan tenaga wap melalui pembakaran arang batu. Sebagai contoh, enjin berkuasa wap yang dihasilkan oleh Thomas Newcomen dan James Watt. Masyarakat Jerman juga telah menghasilkan pelbagai ciptaan baru dan menjadikannya lebih mudah. Hal ini  telah membantu kelahiran industri berskala besar-besaran kerana ahli kimia Jerman berpendapat teknik boleh dimajukan tanpa batas. Kesannya, syarikat-syarikat kimia dan elektrik  Jerman memonopoli penubuhan makmal-makmal penyelidikan yang dilengkapi dengan ahli-ahli kimia dan fizik di universiti-universiti dan golongan terpelajar inilah yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada kemajuan industri Jerman. Dalam hal ini, para saintis Jerman telah mencipta pelbagai peralatan baru dan pekembangan ini membolehkan Jerman memimpin dunia dalam industri kimia dan elektrik pada akhir abad ke 19.

3.      Masyarakat Yang Berkerja di Kilang-Kilang

Revolusi Perindustrian yang bermula di England juga telah menyebabkan perubahan pekerja dan keadaan  kerja di kilang-kilang di Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah kebanyakan golongan bawahan masyarakat Eropah berkerja sebagai petani dan mereka dikongkong oleh tuan tanah. Menjelang Revolusi Perindustrian keadaan ini berubah kerana pada masa itu golongan bawahan yang tertindas kebanyakan bukan berkerja sebagai petani tetapi mereka yang berkerja di kilang-kilang yang pesat dibangunkan ketika itu. Pada kebiasaanya, seorang pekerja kilang berkerja selama 12 jam sehari dan enam jam tiga puluh minit pada setiap hari minggu. Manakala upah yang dibayar kepada pekerja-pekerja ini hanya mencukupi untuk mengisi perut. Keadaan ini membawa kesan yang buruk kepada masyarakat bawahan di Eropah kerana mereka bukan sahaja tidak berpeluang untuk memperbaiki hidup tetapi terus berada dalam keadaan terhimpit dan dibelenggu kemiskinan.

Penindasan terhadap golongan bawahan pada ketika itu adalah amat teruk. Masa berkerja yang terlalu lama dan masa rehat yang singkat menyebabkan kebanyakan pekerja, khususnya kanak-kanak berasa amat letih dan ada yang terjatuh ke dalam mesin lalu terbunuh. Kanak-kanak yang menjadi buruh juga berkerja dalam suasana yang gelap dan berbahaya di dalam lombong arang batu. Tempat tinggal yang disediakan oleh pengusaha kilang kepada pekerja mereka juga adalah amat teruk. Nasib golongan para pekerja kilang ini hanya terbela pada awal tahun 1790. Pada ketika itu kadar penindasan terhadap golongan bawahan mula bekurangan dan pada 1802 Parlimen telah melarang dan mengharamkan penindasan terhadap golongan bawahan. Pada ketika itu juga, mula muncul beberapa majikan dan golongan sosial reformis yang memperjuangkan nasib para kanak-kanak dan buruh-buruh yang ditindas oleh majikan mereka. Mereka mula mempersoalkan tentang nasib golongan yang tertindas dan menuntut piawaian kemanusiaan diwujudkan.

  Dalam memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kilang golongan ini juga menggunakaan risalah-risalah kepada masyarkat umum di Eropah bagi menyedarkan mereka tentang penindasan yang berlaku terhadap golongan bawahan. Di samping itu, golongan reformis sosial juga mendesak Parlimen di Eropah agar dapat mewujudkan satu sistem perundangan yang melindungi golongan tertindas khususnya kanak-kanak. Hasil daripada usaha golongan ini, akhirnya mereka berjaya memperbaiki nasib golongan bawahan dan pekerja kilang yang ditindas oleh para pengusaha kilang dan lombong.

 Pencapaian terbesar golongan reformis adalah dengan terbentuknya akta kilang 1833. Akta ini telah menetapkan masa berkerja kanak-kanak yang berusia 9 hingga 13 tahun adalah 8 jam sehari. Dalam pada itu, golongan remaja yang sebelumnya bekerja 14 hingga 18 jam sehari telah dilonggarkan waktu bekerja nya menjadi 13 jam sehari. Peraturan tersebut juga melarang semua kilang-kilang mengambil kanak-kanak yang berusia kurang daripada 9 tahun untuk berkerja. Kanak-kanak dalam lingkungan usia ini akan didaftarkan di sekolah-sekolah rendah yang ditubuhkan oleh pengusaha-pengusaha kilang. Akhirnya usaha perjuangan untuk membela nasib golongan pekerja kilang mula terbela dan secara perahan-lahan penindasan terhadap golongan tersebut mula berkurangan.
4.      Taraf  Hidup Masyarakat Mengikut Kelas

Masyarakat industri  tergolong kepada dua kelas iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kelas kapitalis terdiri daripada pemilik kilang, tuan tanah dan pengusaha lombong. Dalam pada itu, golongan pekerja amat bergantung kepada golongan kapitalis. Dalam hal ini, pada peringkat awal, proses perindustrian membawa kesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagai buruh di kilang dan selepas berlakunya peningkatan dalam pengeluaran, muncul pula golongan profesionalisme. Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan pekerja meningkat.

Revolusi Perindustrian di Eropah juga menyaksikan kemunculan golongan baru dalam hierarki masyarakat Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian, masyarakat di Eropah terdiri daripada masyarkat petani tradisional yang meliputi golongan bangsawan dan pemilik tanah, sekumpulan kecil pedagang dan tukang, dan sekumpulan besar golongan petani. Golongan kelas pertengahan baru merupakan kelompok penting dalam strata sosial di Eropah menjelang abad ke-18 dan kemunculan mereka adalah disebabkan oleh perkembangan revolusi industri pada abad berkenaan. Golongan kelas pertengahan baru ini termasuklah pemilik kilang, peniaga, ahli-ahli bank, peguam dan jurutera. Kewujudan mereka ini telah membawa perubahan yang amat besar dalam sistem hierarki di Eropah. Mereka bukan sahaja menyebabkan perubahan dalam masyarakat Eropah tetapi golongan ini juga banyak menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara-negara Eropah. Golongan pertengahan ini ber keinginan mencuba idea baru dan bersedia menerima risiko dalam urusan perniagaan baru yang diceburi. Semangat dan keberanian golongan pertengahan ini menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bidang industri di Eropah berkembang dengan pesat.

Menjelang abad ke-17 dan ke-18, kemunculan golongan pertengahan atau lebih dikenali sebagai golongan borjuis telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat di Eropah. Golongan borjuis atau menengah pada asalnya terdiri daripada kalangan orang bandar yang bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan, perniagaan bank, pembuatan, guaman, kedoktoran dan sebagainya. Lama–kelamaan hasil daripada penglibatan dalam pelbagai bidang golongan ini menyebabkan mereka dapat mengumpul kekayaan. Dari segi ekonomi golongan kelas pertengahan ini mula menyaingi kekayaan golongan bangsawan di Eropah. Daripada kekayaan yang mereka perolehi golongan ini telah membeli banyak tanah di kawasan luar bandar. Keadaan ini bukan sahaja memberi saingan ekonomi kepada golongan aristokrat tetapi juga telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat dari segi kuasa politik.

Pada peringkat awal, golongan pertengahan di Eropah tidak mempunyai kuasa dalam bidang politik, tetapi apabila kegiatan perdangangan semakin berkembang, peranan golongan ini menjadi semakin penting. Dasar merkantlisme yang diamalkan oleh kebanyakan negara Eropah selepas abad ke-16 juga menyebabkan peranan dan pengaruh golongan ini semakin berkembang. Pada ketika itu raja-raja di Eropah mula memberi kerjasama kepada golongan borjuis kerana melalui aktiviti yang dijalankan oleh golongan tersebut, raja-raja dapat mengukuhkan dan memperkembangkan ekonomi negara.      Perkembangan ini agak ketara di England, tetapi di negara lain seperti Jerman dan Perancis kedudukan golongan pertengahan masih lagi lemah pada abad ke-16. Di Perancis walaupun pengaruh politik golongan pertengahan masih lemah pada abad ke-16, tetapi dari segi ekonomi pengaruh golongan ini semakin kuat.

5.      Perubahan Sosial Masyarakat Ke Arah  Materialistik dan Masalah Sosial

Sebelum zaman revolusi, masyarakat Eropah merupakan masyarakat yang sangat terikat dengan tradisi kekeluargaan yang kuat dan kebanyakkan mereka tinggal di kawasan luar bandar. Mereka hidup secara ringkas dan seadanya dan tidak ada usaha untuk melakukan mobiliti sosial dan cara hidup mereka yang mudah. Ibu bapa memainkan peranan yang cukup jelas dalam keluarga dan mereka juga mempunyai hak mutlak dalam menentukan jodoh anak mereka. Setelah tercetusnya revolusi industri, keadaan tersebut mula berubah dan golongan muda mula beremigrasi menuju ke kawasan yang giat dengan kegiatan industri atau kawasan bandar. Ikatan kekeluargaan yang sebelum ini erat mula menjadi longgar. Keadaan di kawasan bandar melahirkan gaya hidup yang sangat mencabar. Keadaan ini menyebabkan golongan yang berada di bandar lebih berdikari dan cekal dalam menghadapi cabaran.

Bakat dan kekayaan menjadi kayu ukur kepada standard sosial seseorang manakala skala kehidupan feudal yang bergantung kepada status keturunan untuk sampai ke satu tahap sosial sudah semakin lemah. Dalam pada itu, kehidupan yang bebas di bandar mendedahkan penduduknya dengan pelbagai permasalahan sosial yang kritikal seperti masalah pelacuran dan jenayah berat. Pelacuran menjadi penyakit sosial di Eropah menjelang abad ke-19 dan di Vienna sahaja terdapat lebih 15,000 orang pelacur manakala di Perancis pula, pelacur memiliki lesen perniagaan dengan jumlah pelacur menjangkau 50,000 orang pelacur; dan London 80,000 orang pelacur. Golongan wanita menjadi golongan yang begitu rendah kedudukannya dalam carta sosial di zaman revolusi industri.

Sebelum revolusi industri isteri para pegadang boleh bergiat aktif dalam perniagaan tetapi setelah revolusi industri mereka adalah ditegah daripada terlibat dengan sebarang aktiviti perniagaan dan mereka hanya perlu bertanggungjawab terhadap rumah tangga, hamba-hamba, pendidikan anak-anak dan kehidupan sosial keluarga. Golongan pelabur menjadi golongan penting dalam zaman revolusi industri kerana mereka berperanan sebagai penjana ekonomi kerajaan. Golongan ini juga menjadi pendukung aktiviti penjelajahan dan penerokaan ke Timur dengan menyediakan modal untuk tujuan ekonomi.

6.      Masyarakat Literasi

Masyarakat industri juga merupakan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan. Oleh yang demikian, mereka terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dalam kehidupan seharian mereka dan masyarakat ini menggunakan ilmu secara sistematik dan teratur untuk merancang tugas dan menjalankan aktiviti sosial yang lain.

7.      Masyarakat Keusahawanan

Semangat keusahawanan dalam kalangan tokoh-tokoh perindustrian membantu perkembangan industri di England. Semangat keusahawanan ini menentukan daya kreativiti dan inovatif tokoh-tokoh perindustrian. Antara tokoh-tokoh yang memiliki sifat-sifat ini seperti James Watt dan Matthew Boulton. Sebagai contoh, James Watt telah memperbaiki enjin ciptaan Thomas Newcomen pada 1763 dan enjin tersebut berupaya menghasilkan tenaga wap yang lebih berkesan. Dalam hal ini, James Watt telah menubuhkan syarikat usahasama dengan Matthew Boulton dan syarikat itu telah mengeluarkan enjin berkuasa untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Dalam hal ini, ramai pengusaha kaya di England yang mampu membeli mesin-mesin baru untuk kilang-kilang mereka. Manakala di Jerman pula, industri perkapalan dimajukan di Bremen, Hamburg, Stettin, Danziq dan Elby. Selepas tahun 1880, berlaku peningkatan dalam pembinaan kapal wap dan jumlah muatan juga meningkat.

8.      Perubahan Politik Dalam Masyarakat

  Akibat daripada kemunculan beberapa golongan baru iaitu golongan pertengahan atau borjuis dan golongan pekerja atau proletariat pada zaman industri maka pemikiran politik masyarakat Eropah menjadi lebih terbuka yang akhirnya mencambahkan idea-idea politik yang baru. Golongan pertama atau kelas pertengahan merupakan golongan yang sentiasa menambahkan kekayaan dan kekuasaan. Manakala golongan pekerja atau proletariat adalah tidak terurus dan berada dalam kemiskinan. Akibat kemiskinan dalam kalangan golongan pekerja mula terdapat golongan yang mempercayai bahawa golongan kaya mengeksploit golongan miskin dan golongan ini merupakan golongan yang memiliki sebahagian besar daripada sumber kekayaan dalam masyarakat. Golongan ini telah mendesak kerajaan di Eropah supaya campur tangan dalam perdagangan dan industri bagi membendung penindasan yang berlaku terhadap golongan proletariat dan seterusnya melahirkan masyarakat yang adil. Perjuangan golongan ini akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman sosialisme.

Fahaman sosialis ini berpendapat persamaan dari segi sivil dan politik tidak bermakna tanpa persamaan  dalam bidang ekonomi. Pada peringkat awal terdapat penganut sosialisme ini terbahagi kepada dua. Perbezaan kedua-dua penganut ini bukanlah dari segi matlamat akhir tetapi berbeza dari segi teknik bagi mencapai matlamat. Kumpulan pertama lebih mementingkan cara damai bagi mencapai matlamat mereka. Golongan ini menetang pemusatan kuasa di dalam pemerintahan dan menaruh kepercayaan kuat kepada manusia untuk menguruskan kemasyarakatan. Golongan ini juga percaya bahawa revolusi industri boleh membawa kepada zaman kemakmuran. Berpandukan keyakinan ini, maka mereka mengagungkan pekerjaan dan pekerja, serta memandang rendah terhadap golongan yang menyara hidup tanpa berkerja dengan tulang empat kerat. Kumpulan ini diwakili oleh pemikir seperti Saint Simon, Cabet dan Fourier.

Kumpulan kedua merupakan kumpulan yang menggunakan rampasan kuasa sebagai suatu taktik politik yang sah bagi mempraktikkan kepercayaan mereka. Golongan ini juga menyokong campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi bagi menjamin hak dan keselesaan hidup kaum pekerja yang selama ini ditindas oleh pengusaha kilang dan lombong. Para pemimpin utama kumpulan ini terdiri daripada Babeuf (1760-1797), Bounarotti (1761-1837), Louis Augute Blanqui (1805-1881) dan Louis Blanc (1811-1822). Golongan ini merupakan golongan yang betul-betul berazam untuk mengubah peraturan sosioekonomi dan politik di Eropah pada masa revolusi-revolusi 1848.

 Lanjutan daripada tradisi sosialis akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman Marxisme atau Komunis. Marx adalah ahli sosialis pertama yang menerangkan politik dan sejarah dalam konteks ekonomi. Menurut Marx semua masyarkat manusia melalui tahap yang sama dalam perkembangan sejarah. Setiap tahap tersebut ditandakan oleh perubahan dalam kaedah pengeluaran dan pergelutan antara kelas masyarakat iaitu antara pemerintah dan yang diperintah. Idea utama yang didukung oleh Marx ialah teori materialisme. Teori tersebut menyatakan keadaan ekonomi sesebuah masyarakat akan menentukan bentuk institusi yang terbaik, negara, undang-undang, dan agama dalam masyarakat. Oleh itu, sebarang perubahan dalam bidang ekonomi akan turut mempengaruhi sesuatu institusi. Dalam hal ini perjuangan kelas untuk mengawal punca-punca pengeluaran akan membawa masyarakat kepada kedudukan yang lebih tinggi dan keadaan ini akan menyebabkan berlakunya revolusi.       

Selain itu, Marx turut menyatakan bahawa pertentangan antara kelas masyarakat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam golongan pertengahan kerana golongan tersebut sentiasa memburu keuntungan. Bagi mendapatkan keuntungan golongan pertengahan akan menindas golongan proletariat. Manakala puak proletariat pula akan bersatu untuk mempertahakan diri dan kemudianya akan mampu membentuk sebuah masyarakat tanpa kelas ataupun masyarakat komunis.

Kemunculan fahaman baru dalam pemikiran politik ini telah menyebabkan berlaku berlaku pertelingkahan antara masyarakat Eropah. Keadaan ini berpunca daripada fahaman antara beberapa pihak yang cuba untuk memperbaiki beberapa golongan khususnya golongan pekerja di Eropah. Dalam hal ini, Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah bukan sahaja membawa impak yang menyebabkan perubahan dalam pemikiran politik di Eropah tetapi turut membawa kepada perjuangan golongan pekerja dalam politik untuk memperbaiki kehidupan mereka.



9.      Masyarakat Kapitalis / Pemodal
Terdapat modal yang mencukupi untuk pelaburan dalam sektor perindustrian di England di mana kerajaan England memiliki modal yang banyak yang dipusatkan di Bank of England. Kemunculan institusi perbankan menyebabkan terdapat kemudahan pinjaman bagi membiayai projek-projek perindustrian. Dalam pada itu, Revolusi Pertanian menyebabkan muncul peladang-peladang yang kaya dan peladang-peladang ini sanggup melaburkan lebihan modal  dalam sektor perindustrian.  Di Jerman, koperasi ditubuhkan untuk memberi bantuan kewangan di kawasan luar bandar. Persatuan Kredit Schulze Delitzsch ditubuhkan untuk menyediakan bantuan kewangan bagi penduduk bandar.

Pada tahun 1911, terdapat 25,000 kesatuan kredit di Jerman dengan empat juta ahli. Menjelang pertengahan kedua abad ke 19 masihi, telah muncul Bank Joint Stock Baru di Jerman yang menbantu dalam perkembangan industri moden yang memerlukan modal bersifat boleh digerakkan.

10.  Kemunculan Golongan Proletariat
Selain daripada kemunculan kelas pertengahan, Revolusi Perindustrian di Eropah juga telah melahirkan golongan kelas pekerja kilang dan lombong yang dikenali sebagai proletariat. Golongan proletariat ini terdiri daripada penganggur, pemintal dan penenun. Pada zaman Revolusi Perindustrian mesin yang pada asalnya dikerjakan oleh golongan proletariat dengan menggunakan tenaga mereka tidak lagi diperlukan. Sebaliknya mesin pada zaman Revolusi Perindustrian yang menggunakan kuasa wap telah mengambil alih peranan sebahagian besar golongan ini. Oleh itu, golongan tersebut hanya mampu menawarkan tenaga buruh. Akibatnya, menjelang penghujung abad ke-18 dan ke-19 golongan proletariat tadi dibayar gaji yang amat rendah kerana mesin telah menggantikan kerja-kerja yang dijalankan oleh golongan tersebut sebelum ini.     Di Britain dan negara-negara Eropah yang lain walaupun golongan ini berkerja lebih masa dari yang sepatutnya mereka tetap tidak dapat mengatasi masalah kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan golongan para pekerja ataupun golongan proletariat berada dalam kemiskinan walaupun pada ketika itu Eropah berada pada zaman Revolusi Industri.
KESIMPULAN
 Revolusi industri yang melanda Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 telah membawa pelbagai impak terhadap perkembangan ekonomi, sosial, dan politik masyarakat Eropah. Sebelum revolusi industri, kegiatan ekonomi masyarakat Eropah masih lagi berpusatkan kepada pertanian ataupun industri primer. Namun demikian, setelah tercetusnya revolusi industri, masyarakat Eropah mula mengorak langkah ke arah penglibatan dalam kegiatan ekonomi yang lebih pelbagai dan pada ketika ini industri sekunder dan sektor ekonomi yang melibatkan perlombongan dan perkilangan semakin berkembang maju. Perkembangan positif dalam kedua-dua sektor ekonomi tersebut akhirnya turut mempengaruhi perkembangan sosial dan politik di Eropah.
SUMBER SKEMA PP1 PAHANG

Ciri-ciri Masyarakat Industri di Jerman.

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
a) Kegiatan ekonomi
i. Pertambahan pembukaan lombong arang batu dan bijih besi di Saxony dan Silesia barat Jerman.
Pertambahan pengeluaran arang batu dua kali ganda antara 1860 -1870.
Pengeluaran bijih besi meningkat daripada 1.5 juta tan pada 1871 pada 8.5 juta tan pada 1900.
Muncul pengusaha terkemuka seperti Alfred Krupp yang mengeluarkan barangan alat ganti berkualiti tinggi dan peralatan besi.

ii.Kemajuan dalam industri kulit
1870 -1914, Jerman telah mengambil alih tempat England dalam industri kulit.
Berlaku perubahan kehidupan masyarakat kepada gaya hidup yang mewah

iii.Pembangunan industri tekstil
Tertumpu di wilayah Rhineland, Saxony dan Silesia. Bandar Berlin mengeluarkan mesin-mesin bagi meningkatkan lagi industri tekstil di Jerman.

iv.Ciptaan baharu mulai berkembang di Jerman
Syarikat Siemens dan Martin mula meningkatkan pengeluaran keluli pada tahun 1886 daripada 0.9 juta tan kepada 13.6 juta tan.
Membawa kepada kemunculan kejuruteraan elektrik di Jerman.
Syarikat kimia dan elektrik Jerman menjadi perintis kepada pembangunan perusahaan kimia dan elektrik.

b) Kemajuan dalam teknik penyelidikan
Jerman menghasilkan perbagai ciptaan baru yang membantu kelahiran industri berskala besar.
Syarikat kimia dan elektrik Jerman memonopoli penubuhan makmal-makmal penyelidikan yang lengkap dengan ahli-ahli kimia dan fizik terlatih daripada universiti.
Beberapa perbadanan Jerman telah mernberi sumbangan besar mencipta teknik baru dengan menjalinkan teknik  penyelidikan dengan amalan kerja biasa di kilang.
Menjelang akhir abad 19  industri kimia dan elektrik Jerman telah memimpin dunia.

c) Kemajuan kewangan
Kerajaan Jerman mengawal pasaran bebas.Perkembangan sistem perbankan di Jerman menggalakkan pertumbuhan perdagangan dan perniagaan di Jerman. Pada tahun 1840an, Bank of Prusia berfungsi sebagai 'joint stock' dalam pengeluaran kredit dan menyediakan pelaburan kapital.
Bantuan modal mempercepatkan perkembangan industri di Jerman pada tahun 1870-an. Hal ini menggalakkan pertumbuhan industri perlombongan arang batu, keluli, kapas dan kain bulu serta kemajuan sistem pengangkutan darat dan laut.

d) Kejuruteraan manusia
Bidang perdagangan di Jerman dan sekolah-sekolah teknik menyediakan lelaki untuk kerja-kerja spesifik dan lebih efektif.
Lahir satu kumpulan elit pengurusan yang penuh disiplin dengan semangat kerja berpasukan 'spirit de corps''.[1]

e) Kemajuan sistem Pengangkutan
Pembinaan jalan keretapi dibina dengan pesat pada tahun 1870 hasil pembangunan industri besi dan keluli. Firma Jerman di Borsig telah menjadi pengeluar utama keretapi di Jerman.
Kerajaan juga menyediakan kadar perkhidmatan kereta api yang murah untuk menghantar besi Jerman ke negara-negara Eropah lain. Kemajuan ini membolehkan Jerman mula mengeksport besi dan keluli ke lain-lain negaraEropah.
Pada 1913, eksport besi dan keluli Jerman bernilai 100 juta pound sterling.

f) Peluasan perdagangan antarabangsa
Perkembangan pembangunan perindustrian di Jerman menyaksikan pertambahan dalam eksport sehingga menimbulkan masalah dalam memasarkan barangan dan mendapatkan sumber bahan mentah.Perindustrian di Jerman telah berkembang kepada 243.8 peratus dari tahun 1887 -1912.

g) Dasar kerajaan Jerman
1879, Jerman menamatkan dasar perdagangan bebas dan mengamalkan dasar melindungi industri.Hal ini membantu dalam menambahkan hasil pengeluaran Jerman antara tahun 1872 -1910.
      Bismarck telah memperkenalkan undang-undang insuran sosial pada 1883 bagi memastikan para pekerja mendapat perlindungan.[2]






[1] “Masyarakat Industri”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),34.
[2] Ibid,35.

Ahad, 29 Mei 2016

Masyarakat Industri di Jerman

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Definisi masyarakat industri
Masyarakat industri merujuk kepada masyarakat yang bergantung kepada sektor perindustrian. Masyarakat industri terlibat dengan pengeluaran barangan dan perkhidmatan dengan mesin. Masyarakat industri dicirikan menerusi pembahagian kerja dan bergantung kepada pengeluaran secara besar-besaran.[1]    

        Selepas tahun 1870, dunia Eropah mengalami ledakan dalam kekayaan kebendaan  kesan kemunculan  baharu dalam dalam perindustrian , sumber kuasa dan pengeluaran. Gelombang Revolusi Perindstrian kali kedua menyaksikan perubahan  penggunan sumber tenaga manusia kepada mesin. Revolusi Perindustrian tahap kedua di Eropah bermula di Jerman.Revolusi di Jerman bermula pada tahun 1860-an hingga tahun 1914.[2]  Ciri utama Revolusi Perundustrian tahap kedua ialah kapital kewangan mengatasi kapital industri. Antara ciri-ciri kapital kewangan ialah dominasi industri pelaburan bank dan syarikat insuran, pengumpulan modal yang besar, pengasingan  pemilikan daripada pengurusan  dan perkembangan syarikat holdings.

      Teknologi yang digunakan dalam tahap kedua terdiri daripada pelbagai bahan, sumber dan bentuk. Pada zaman ini, muncul industri baharu seperti elektik, kimia, petroleum dan logam ringan. Menjelang abad ke-19, ahli kimia dan metalurgi Jerman mencipta teknologi baharu untuk menghasilkan barangan daripada arang batu dan besi.[3]     



[1]“Masyarakat Industri”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),32.
[2] Mahdi Shuid,Sazlina Othman Anjurum Begum Ahamed, Pra U Teks Sejarah STPM Penggal 1,(Bandar Baru Bangi: Penebitan Pelangi Sdn Bhd,2012),58
[3] SivachandralingamSundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955,Edisi Ketiga, (Shah Alam: Oxford Fajar 2016),82.

Jumaat, 27 Mei 2016

Terangkan ciri-ciri masyarakat industri di Jerman.20m

Masyarakat industri merujuk kepada masyarakat yang terlibat dalam bidang perindustrian. Masyarakat industri juga merujuk kepada masyarakat yang terlibat dalam pengeluaran barangan serta perkhidmatan dengan menggunakan mesin. Masyarakat industri di Jerman lahir kesan daripada ledakan revolusi industri di England pada 1860-an hingga 1914. Kesan daripada revolusi ini, kerajaan telah memberi tumpuan untuk memajukan kemudahan infrastruktur seperti sistem pengangkutan dan komunikasi. Kerajaan juga mewujudkan lebih banyak kilang bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

       Selain itu, masyarakat industri di Jerman mahir dalam bidang pertanian. Mereka mencapai banyak kemajuan dalam bidang pertanian. Kemajuan teknologi telah meningkatkan mekanisme dalam kegiatan pertanian seperti masalah pembajakan tanah dapat diatasi apabila traktor dicipta bagi menggantikan penggunaan kuda. Kemajuan dalam pertanian juga menghasilkan kajian saintifik tentang tanah, misalnya melalui penemuan Humphry Duty (1802) tentang sumbangan ilmu kimia dalam mengatasi masalah kesuburan tanah dan tanaman. Pada tahun 1840 pula saintis Jerman Justus von Leibig telah menemui formula untuk menghasilkan baja tiruan. Selain itu petani juga turut memperkenalkan sistem pertanian carnpuran iaitu menternak lembu dengan diselangi oleh penanaman bijirin khasnya jagung dan ubi kentang. Kesannya, antara tahun 1905 hingga 1912, Jerman telah mendahului negara lain dalam pengeluaran hasil pertanian seperti gandum, barli, oat,jagung dan ubi kentang.

Longgokan sumber bahan mentah yang banyak juga menyumbang kepada perkembangan perindustrian di Jerman seperti arang batu, bijih besi, dan bijih timah di Ruhr, Lorraine dan Silesia pada abad ke-19. Hal ini membawa kepada kewujudan masyarakat industri. Kemajuan dalam industri kulit pula telah melahirkan perubahan dalam gaya hidup. Ciptaan-ciptaan baru mencetuskan inovasi baru dalam teknologi di Jerman seperti industri kimia dan elektrik. Perkembangan dalam industri elektrik adalah disebabkan oleh permintaan yang tinggi untuk barangan elektrik dan Jerman telah muncul sebagai negara pertama untuk menghasilkan barangan elektrik pada tahun 1913.

       Perkembangan dalam bidang perindustrian telah membawa kepada perpindahan penduduk dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar. Hal ini telah membawa pertambahan penduduk dalam kawasan bandar dan telah mewujudkan masyarakat yang berorientasikan industri di bandar. Misalnya di kawasan Ruhr; Saxony, Silesia dan Berlin. Bilangan penduduk yang semakin ramai telah membawa pertambahan dalam peluang pekerjaan di kawasan industri. Buktinya, bilangan pekerja dalam industri telah meningkat daripada 120 000 orang antara tahun 1863 hingga tahun 1865 kepada 570 000 orang ada tahun 1906.


       Perkembangan sistem pengangkutan turut berlaku di Jerman. Masyarakat industri di Jerman juga maju dalam sistem pengangkutan. Kemajuan yang pesat dalam industri besi dan keluli telah membawa perkembangan dalam sektor pengangkutan khususnya dalam pembinaan jalan kereta api. Borsig telah muncul sebagai pengeluar utama kereta api dan kemudian diikuti oleh pembinaan jalan kereta api ke bandar-bandar lain di Jerman. seterusnya industri perkapalan pula dimajukan di Bremery Hamburg, dan Elby.

Khamis, 26 Mei 2016

1.4 Masyarakat industi di England

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Masyarakat industri di England pada abad ke-18 dan 19
Masyarakat industi merujuk kepada masyarakat yang terlibat dalam bidang perindustrian . Masyarakat ini dicirikan menerusi pembahagian kerja dan bergantung kepada pengeluaran secara besar-besaran. Masyarakat industri merupakan masyarakat yang terlibat dalam pengeluaran barangan serta perkhidmatan dengan menggunakan mesin.Kemunculan masyarakat industri bemula selepas tercetus Revolusi  Perindustrian di England pada abad ke-18.

      Masyarakat industri telah menggantikan masyarakat agraria yang muncul pada zaman praindustri. Masyarakat ini terdiri daripada dua golongan iaitu pengusaha industri dan pekerja industri. Istilah masyarakat industri mula-mula diperkenalkan oleh seorang tokoh sosialis Perancis , iaitu Saint-Simon. Namun begitu idea berhubung konsep masyarakat industri muncul lebih awal lagi. Seorang tokoh berbangsa Scott mengemukakan konsep ‘masyarakat komersial’ dalam penulisan beliau. Menjelang abad ke-19, tokoh sosiologi terkenal seperti Herbert Spencer, Auguste Comte, Max Weber dan Karl Marx menggunakan istilah ini secara meluas.[1]     

 Ciri-ciri Masyarakat Industri:
a) Kegiatan ekonomi
Pada peringkat awal, masyarakat industri di England bekerja di kilang-kilang tekstil.Masyarakat bergantung kepada sektor perindustrian sebagai sumber pekerjaan dan punca pendapatan bagi menyara hidup.
b) Mobiliti sosial
Perkembangan pesat dalam bidang perindustrian menyebabkan tataf hidup golongan pekerja meningkat.Peningkatan dalam pengeluaran menyebabkan mereka menerima pendapatan ang tinggi.[2]
c) Pengkhususan kerja
Penggunaan mesin secara meluas dalam bidang perindustrian telah menyebabkan berlaku pengkhususan kerja.Pekerja-pekerja hanya perlu melakukan sebahagian daripada kerja untuk menghasilkan sesuatu barangan.(pengkhususan kerja)
d) Kemunculan kelas
Peningkatan dalam pengeluaran menyebabkan mereka menerima pendapatan yang tinggi dan perkembangan ini melahirkan golongan kelas menengah dalam masyarakat.Masyarakat industri tergolong kepada dua kelas, iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja.Menjelang tahun 1851, ramai penduduk berhijrah ke bandar-bandar perusahaan seperti Manchester, Leeds dan Liverpool. Perkembangan ini melahirkan proses pembandaran terutamanya di bandar-bandar perindustrian.
e) Masyarakat Literasi
Merupakan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berpendidikan. Masyarakat industri terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dalam kehidupan mereka.Mereka turut memperjuangkan hak asasi dan kebajikan golongan pekerja yang bekerja di sektor perkilangan.Sebagai contoh, David Ricardo memperjuangkan hak golongan pekerja di parlimen England.




[1] SivachandralingamSundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955,Edisi Kedua, (Shah Alam: Oxford Fajar 2015),23.
[2] “Masyarakat Industri”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1, , (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),29.