Pengenalan
|
Revolusi
perindustrian terbahagi kepada dua tahap. Tahap pertama bermula di England
pada tahun1760 hingga 1850. Tahap kedua pula bermula antara tahun 1890 hingga
1914 di Perancis, Jerman dan Belgium. Revolusi ini telah melahirkan
masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat industri yang terdiri daripada
pelbagai kelas. Antaranya ialah golongan
pengusaha industri dan buruh industri. Perubahan –perubahan yang
berlaku telah mengubah ciri masyarakat daripada feudal iaitu masyarakat yang tinggal di
kawasan pedalaman berhijrah dan memberi tumpuan ke kawasan bandar contoh
Manchester, Liverpol dan Leeds.
Proses pembandaran ini telah menjadi ciri utama pembentukan masyarakat
industri di England. Namun begitu terdapat ciri-ciri lain yang turut
membentuk masyarakat industri di England iaitu , muncul kelas masyarakat
baru, berlakunya mobiliti sosial, lahir masyarakat berpendidikan, munculnya
masyarakat yang mempunyai pengkhususan pekerjaan, masyarakat yang memberikan
tumpuan kepada kegiatan ekonomi berasaskan industri, perubahan gaya hidup
masyarakat dan masyarakat yang
mempunyai semangat keusahawanan.
|
FAKTA 1
|
Masyarakat Urban /Bandar (Pengetahuan 1-wajib dalam
perenggan 1)
|
TAAKULAN
|
Masyarakat industri ialah masyarakat yang tinggal di
bandar-bandar seperti London , Manchester, Liverpool dan Munich. Dalam hal
ini, selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah, masyarakat luar
bandar telah berhijrah secara beramai-ramai ke bandar-bandar dan mereka
bekerja di kilang-kilang. Fenomena ini menyebabkan kemunculan proses
pembandaran khususnya di bandar-bandar perindustrian. Perkembangan ini
menyebabkan berlaku pertambahan penduduk secara mendadak di kawasan-kawasan
bandar. Kesannya, penghijrahan secara beramai-ramai telah mengakibatkan
kesesakan yang teruk di bandar-bandar industri tersebut. Revolusi industri telah memberi impak yang cukup besar
terhadap pertumbuhan penduduk di Eropah terutama nya England. Populasi
penduduk Eropah berkembang pada kadar yang perlahan pada awal kurun ke-18
tetapi mula menunjukkan pertumbuhan yang agak pesat pada tahun 1780.
Menjelang kurun ke-18, populasi penduduk Eropah telah meningkat pada kadar
tertinggi. England merupakan contoh terbaik bagi melihat pertumbuhan positif
penduduk ini kerana pada tahun 1688, jumlah penduduk di England hanyalah 5.5
juta orang tetapi menjelang tahun 1801, populasi penduduk di England
bertambah menjadi 9 juta orang dan pada tahun 1851, jumlah ini meningkat lagi
menjadi 18 juta orang iaitu peningkatan sekali ganda berbanding 50 tahun
sebelumnya.
Industrialisasi dan
pertumbuhan penduduk saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Bekalan
makanan dan peluang pekerjaan yang lebih baik menggalakkan orang untuk
berkahwin pada usia yang lebih muda dan memperolehi anak yang ramai. Kadar
kelahiran yang tinggi bermakna jumlah kanak-kanak juga ramai dan seterusnya
menyumbang kepada bekalan buruh kanak-kanak yang menjadi tenaga penting di
lombong-lombong arang batu. Pada kurun ke-19, kanak-kanak yang berusia kurang
daripada 15 tahun adalah seramai 40 peratus daripada penduduk seluruh
Britain. Pertumbuhan penduduk yang pesat di kawasan-kawasan industri Eropah
juga disebabkan oleh proses migrasi yang berlaku. Berjuta-juta orang
melakukan migrasi atau perpindahan semasa berkembangnya revolusi industri
dengan ada di antara mereka yang berpindah dari kampung ke bandar dengan
harapan mencari pekerjaan ataupun mencari kehidupan yang lebih baik.
|
FAKTA 2
|
Masyarakat Yang Menggunakan Teknologi Moden
|
Taakulan
|
Masyarakat di England merupakan masyarakat yang
menggunakan peralatan-peralatan moden
hasil daripada kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Dalam hal
ini, terdapat minat yang mendalam untuk menerapkan unsur-unsur sains dan
teknologi dalam bidang perindustrian dan hal ini memungkinkan pengenalan
beberapa rekaan dan ciptaan peralatan-peralatan moden seperti mesin-mesin.
Penciptaan mesin-mesin ini menyebabkan perkembangan kegiatan perindustrian di
mana hasil hasil ini dipatenkan untuk mengelakkan peniruan daripada orang
lain. Dalam hal ini, pelbagai mesin
telah direka oleh ahli sains seperti enjin wap yang dihasilkan daripada
penghasilan tenaga wap melalui pembakaran arang batu. Sebagai contoh, enjin
berkuasa wap yang dihasilkan oleh Thomas Newcomen dan James Watt.
|
FAKTA 3
|
Masyarakat Yang
Berkerja di Kilang-Kilang
|
TAAKULAN
|
Revolusi Perindustrian
yang bermula di England juga telah menyebabkan perubahan pekerja dan
keadaan kerja di kilang-kilang di
Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah kebanyakan golongan bawahan
masyarakat Eropah berkerja sebagai petani dan mereka dikongkong oleh tuan
tanah. Menjelang Revolusi Perindustrian keadaan ini berubah kerana pada masa
itu golongan bawahan yang tertindas kebanyakan bukan berkerja sebagai petani
tetapi mereka yang berkerja di kilang-kilang yang pesat dibangunkan ketika
itu. Pada kebiasaanya, seorang pekerja kilang berkerja selama 12 jam sehari
dan enam jam tiga puluh minit pada setiap hari minggu. Manakala upah yang
dibayar kepada pekerja-pekerja ini hanya mencukupi untuk mengisi perut.
Keadaan ini membawa kesan yang buruk kepada masyarakat bawahan di Eropah
kerana mereka bukan sahaja tidak berpeluang untuk memperbaiki hidup tetapi
terus berada dalam keadaan terhimpit dan dibelenggu kemiskinan.
Penindasan terhadap
golongan bawahan pada ketika itu adalah amat teruk. Masa berkerja yang
terlalu lama dan masa rehat yang singkat menyebabkan kebanyakan pekerja,
khususnya kanak-kanak berasa amat letih dan ada yang terjatuh ke dalam mesin
lalu terbunuh. Kanak-kanak yang menjadi buruh juga berkerja dalam suasana
yang gelap dan berbahaya di dalam lombong arang batu. Tempat tinggal yang
disediakan oleh pengusaha kilang kepada pekerja mereka juga adalah amat
teruk. Nasib golongan para pekerja kilang ini hanya terbela pada awal tahun
1790. Pada ketika itu kadar penindasan terhadap golongan bawahan mula
bekurangan dan pada 1802 Parlimen telah melarang dan mengharamkan penindasan
terhadap golongan bawahan. Pada ketika itu juga, mula muncul beberapa majikan
dan golongan sosial reformis yang memperjuangkan nasib para kanak-kanak dan
buruh-buruh yang ditindas oleh majikan mereka. Mereka mula mempersoalkan
tentang nasib golongan yang tertindas dan menuntut piawaian kemanusiaan
diwujudkan.
Dalam memperjuangkan nasib pekerja-pekerja
kilang golongan ini juga menggunakaan risalah-risalah kepada masyarkat umum
di Eropah bagi menyedarkan mereka tentang penindasan yang berlaku terhadap
golongan bawahan. Di samping itu, golongan reformis sosial juga mendesak
Parlimen di Eropah agar dapat mewujudkan satu sistem perundangan yang
melindungi golongan tertindas khususnya kanak-kanak. Hasil daripada usaha
golongan ini, akhirnya mereka berjaya memperbaiki nasib golongan bawahan dan
pekerja kilang yang ditindas oleh para pengusaha kilang dan lombong.
Pencapaian
terbesar golongan reformis adalah dengan terbentuknya akta kilang 1833. Akta
ini telah menetapkan masa berkerja kanak-kanak yang berusia 9 hingga 13 tahun
adalah 8 jam sehari. Dalam pada itu, golongan remaja yang sebelumnya bekerja
14 hingga 18 jam sehari telah dilonggarkan waktu bekerja nya menjadi 13 jam
sehari. Peraturan tersebut juga melarang semua kilang-kilang mengambil
kanak-kanak yang berusia kurang daripada 9 tahun untuk berkerja. Kanak-kanak
dalam lingkungan usia ini akan didaftarkan di sekolah-sekolah rendah yang
ditubuhkan oleh pengusaha-pengusaha kilang. Akhirnya usaha perjuangan untuk
membela nasib golongan pekerja kilang mula terbela dan secara perahan-lahan
penindasan terhadap golongan tersebut mula berkurangan.
|
FAKTA 4
|
Taraf Hidup
Masyarakat Mengikut Kelas
|
Taakulan
|
Masyarakat industri
tergolong kepada dua kelas iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja.
Kelas kapitalis terdiri daripada pemilik kilang, tuan tanah dan pengusaha
lombong. Dalam pada itu, golongan pekerja amat bergantung kepada golongan
kapitalis. Dalam hal ini, pada peringkat awal, proses perindustrian membawa
kesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagai buruh di kilang dan
selepas berlakunya peningkatan dalam pengeluaran, muncul pula golongan
profesionalisme. Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan
pekerja meningkat.
Revolusi Perindustrian
di Eropah juga menyaksikan kemunculan golongan baru dalam hierarki masyarakat
Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian, masyarakat di Eropah terdiri daripada
masyarkat petani tradisional yang meliputi golongan bangsawan dan pemilik
tanah, sekumpulan kecil pedagang dan tukang, dan sekumpulan besar golongan
petani. Golongan kelas pertengahan baru merupakan kelompok penting dalam
strata sosial di Eropah menjelang abad ke-18 dan kemunculan mereka adalah
disebabkan oleh perkembangan revolusi industri pada abad berkenaan. Golongan
kelas pertengahan baru ini termasuklah pemilik kilang, peniaga, ahli-ahli
bank, peguam dan jurutera. Kewujudan mereka ini telah membawa perubahan yang
amat besar dalam sistem hierarki di Eropah. Mereka bukan sahaja menyebabkan
perubahan dalam masyarakat Eropah tetapi golongan ini juga banyak menyumbang
kepada pendapatan ekonomi negara-negara Eropah. Golongan pertengahan ini ber
keinginan mencuba idea baru dan bersedia menerima risiko dalam urusan
perniagaan baru yang diceburi. Semangat dan keberanian golongan pertengahan
ini menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bidang industri di Eropah
berkembang dengan pesat.
Menjelang abad ke-17
dan ke-18, kemunculan golongan pertengahan atau lebih dikenali sebagai
golongan borjuis telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat di Eropah.
Golongan borjuis atau menengah pada asalnya terdiri daripada kalangan orang
bandar yang bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan,
perniagaan bank, pembuatan, guaman, kedoktoran dan sebagainya. Lama–kelamaan
hasil daripada penglibatan dalam pelbagai bidang golongan ini menyebabkan
mereka dapat mengumpul kekayaan. Dari segi ekonomi golongan kelas pertengahan
ini mula menyaingi kekayaan golongan bangsawan di Eropah. Daripada kekayaan
yang mereka perolehi golongan ini telah membeli banyak tanah di kawasan luar
bandar. Keadaan ini bukan sahaja memberi saingan ekonomi kepada golongan
aristokrat tetapi juga telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat dari
segi kuasa politik.
Pada peringkat awal,
golongan pertengahan di Eropah tidak mempunyai kuasa dalam bidang politik,
tetapi apabila kegiatan perdangangan semakin berkembang, peranan golongan ini
menjadi semakin penting. Dasar merkantilisme yang diamalkan oleh kebanyakan
negara Eropah selepas abad ke-16 juga menyebabkan peranan dan pengaruh
golongan ini semakin berkembang. Pada ketika itu raja-raja di Eropah mula
memberi kerjasama kepada golongan borjuis kerana melalui aktiviti yang
dijalankan oleh golongan tersebut, raja-raja dapat mengukuhkan dan
memperkembangkan ekonomi negara.
|
FAKTA 5
|
Perubahan Sosial Masyarakat Ke Arah Materialistik dan Masalah Sosial
|
Taakulan
|
Sebelum zaman
revolusi, masyarakat Eropah merupakan masyarakat yang sangat terikat dengan
tradisi kekeluargaan yang kuat dan kebanyakkan mereka tinggal di kawasan luar
bandar. Mereka hidup secara ringkas dan seadanya dan tidak ada usaha untuk
melakukan mobiliti sosial dan cara hidup mereka yang mudah. Ibu bapa
memainkan peranan yang cukup jelas dalam keluarga dan mereka juga mempunyai
hak mutlak dalam menentukan jodoh anak mereka. Setelah tercetusnya revolusi
industri, keadaan tersebut mula berubah dan golongan muda mula beremigrasi
menuju ke kawasan yang giat dengan kegiatan industri atau kawasan bandar.
Ikatan kekeluargaan yang sebelum ini erat mula menjadi longgar. Keadaan di
kawasan bandar melahirkan gaya hidup yang sangat mencabar. Keadaan ini menyebabkan
golongan yang berada di bandar lebih berdikari dan cekal dalam menghadapi
cabaran.
Bakat dan kekayaan
menjadi kayu ukur kepada standard sosial seseorang manakala skala kehidupan
feudal yang bergantung kepada status keturunan untuk sampai ke satu tahap
sosial sudah semakin lemah. Dalam pada itu, kehidupan yang bebas di bandar
mendedahkan penduduknya dengan pelbagai permasalahan sosial yang kritikal
seperti masalah pelacuran dan jenayah berat. Pelacuran menjadi penyakit
sosial di Eropah. Di London 80,000 orang pelacur. Golongan wanita menjadi
golongan yang begitu rendah kedudukannya dalam carta sosial di zaman revolusi
industri.
Sebelum revolusi
industri isteri para pegadang boleh bergiat aktif dalam perniagaan tetapi
setelah revolusi industri mereka adalah ditegah daripada terlibat dengan
sebarang aktiviti perniagaan dan mereka hanya perlu bertanggungjawab terhadap
rumah tangga, hamba-hamba, pendidikan anak-anak dan kehidupan sosial
keluarga. Golongan pelabur menjadi golongan penting dalam zaman revolusi
industri kerana mereka berperanan sebagai penjana ekonomi kerajaan. Golongan
ini juga menjadi pendukung aktiviti penjelajahan dan penerokaan ke Timur
dengan menyediakan modal untuk tujuan ekonomi.
|
FAKTA 6
|
Masyarakat
Literasi
|
Taakulan
|
Masyarakat industri juga merupakan masyarakat yang
mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan. Oleh yang demikian, mereka
terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dalam kehidupan seharian mereka dan
masyarakat ini menggunakan ilmu secara sistematik dan teratur untuk merancang
tugas dan menjalankan aktiviti sosial yang lain.
|
FAKTA 7
|
Masyarakat Keusahawanan
|
Taakulan
|
Semangat keusahawanan dalam kalangan tokoh-tokoh
perindustrian membantu perkembangan industri di England. Semangat
keusahawanan ini menentukan daya kreativiti dan inovatif tokoh-tokoh
perindustrian. Antara tokoh-tokoh yang memiliki sifat-sifat ini seperti James
Watt dan Matthew Boulton. Sebagai contoh, James Watt telah memperbaiki enjin
ciptaan Thomas Newcomen pada 1763 dan enjin tersebut berupaya menghasilkan
tenaga wap yang lebih berkesan. Dalam hal ini, James Watt telah menubuhkan
syarikat usahasama dengan Matthew Boulton dan syarikat itu telah mengeluarkan
enjin berkuasa untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Dalam hal ini, ramai
pengusaha kaya di England yang mampu membeli mesin-mesin baru untuk
kilang-kilang mereka.
|
FAKTA 8
|
Perubahan Politik
Dalam Masyarakat
|
Taakulan
|
Akibat daripada kemunculan beberapa
golongan baru iaitu golongan pertengahan atau borjuis dan golongan pekerja
atau proletariat pada zaman industri maka pemikiran politik masyarakat Eropah
menjadi lebih terbuka yang akhirnya mencambahkan idea-idea politik yang baru.
Golongan pertama atau kelas pertengahan merupakan golongan yang sentiasa
menambahkan kekayaan dan kekuasaan. Manakala golongan pekerja atau
proletariat adalah tidak terurus dan berada dalam kemiskinan. Akibat
kemiskinan dalam kalangan golongan pekerja mula terdapat golongan yang
mempercayai bahawa golongan kaya mengeksploit golongan miskin dan golongan
ini merupakan golongan yang memiliki sebahagian besar daripada sumber
kekayaan dalam masyarakat. Golongan ini telah mendesak kerajaan di Eropah supaya
campur tangan dalam perdagangan dan industri bagi membendung penindasan yang
berlaku terhadap golongan proletariat dan seterusnya melahirkan masyarakat
yang adil. Perjuangan golongan ini akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman
sosialisme.
Fahaman sosialis ini
berpendapat persamaan dari segi sivil dan politik tidak bermakna tanpa
persamaan dalam bidang ekonomi. Pada
peringkat awal terdapat penganut sosialisme ini terbahagi kepada dua.
Perbezaan kedua-dua penganut ini bukanlah dari segi matlamat akhir tetapi
berbeza dari segi teknik bagi mencapai matlamat. Kumpulan pertama lebih
mementingkan cara damai bagi mencapai matlamat mereka. Golongan ini menetang
pemusatan kuasa di dalam pemerintahan dan menaruh kepercayaan kuat kepada
manusia untuk menguruskan kemasyarakatan. Golongan ini juga percaya bahawa
revolusi industri boleh membawa kepada zaman kemakmuran. Berpandukan
keyakinan ini, maka mereka mengagungkan pekerjaan dan pekerja, serta
memandang rendah terhadap golongan yang menyara hidup tanpa berkerja dengan
tulang empat kerat.
Lanjutan daripada tradisi sosialis akhirnya
membawa kepada kemunculan fahaman Marxisme atau Komunis. Marx adalah ahli
sosialis pertama yang menerangkan politik dan sejarah dalam konteks ekonomi.
Menurut Marx semua masyarkat manusia melalui tahap yang sama dalam
perkembangan sejarah. Setiap tahap tersebut ditandakan oleh perubahan dalam
kaedah pengeluaran dan pergelutan antara kelas masyarakat iaitu antara
pemerintah dan yang diperintah. Idea utama yang didukung oleh Marx ialah
teori materialisme. Teori tersebut menyatakan keadaan ekonomi sesebuah
masyarakat akan menentukan bentuk institusi yang terbaik, negara,
undang-undang, dan agama dalam masyarakat. Oleh itu, sebarang perubahan dalam
bidang ekonomi akan turut mempengaruhi sesuatu institusi. Dalam hal ini
perjuangan kelas untuk mengawal punca-punca pengeluaran akan membawa
masyarakat kepada kedudukan yang lebih tinggi dan keadaan ini akan
menyebabkan berlakunya revolusi.
Selain itu, Marx turut
menyatakan bahawa pertentangan antara kelas masyarakat adalah sesuatu yang
tidak dapat dielakkan dalam golongan pertengahan kerana golongan tersebut
sentiasa memburu keuntungan. Bagi mendapatkan keuntungan golongan pertengahan
akan menindas golongan proletariat. Manakala puak proletariat pula akan
bersatu untuk mempertahakan diri dan kemudianya akan mampu membentuk sebuah
masyarakat tanpa kelas ataupun masyarakat komunis.
Kemunculan fahaman
baru dalam pemikiran politik ini telah menyebabkan berlaku berlaku
pertelingkahan antara masyarakat Eropah. Keadaan ini berpunca daripada
fahaman antara beberapa pihak yang cuba untuk memperbaiki beberapa golongan
khususnya golongan pekerja di Eropah. Dalam hal ini, Revolusi Perindustrian
yang berlaku di Eropah bukan sahaja membawa impak yang menyebabkan perubahan
dalam pemikiran politik di Eropah tetapi turut membawa kepada perjuangan
golongan pekerja dalam politik untuk memperbaiki kehidupan mereka.
|
FAKTA 9
|
Masyarakat Kapitalis / Pemodal
|
Taakulan
|
Terdapat modal yang mencukupi untuk pelaburan dalam
sektor perindustrian di England di mana kerajaan England memiliki modal yang
banyak yang dipusatkan di Bank of England. Kemunculan institusi perbankan
menyebabkan terdapat kemudahan pinjaman bagi membiayai projek-projek
perindustrian. Dalam pada itu, Revolusi Pertanian menyebabkan muncul
peladang-peladang yang kaya dan peladang-peladang ini sanggup melaburkan
lebihan modal dalam sektor
perindustrian.
|
FAKTA 10
|
Kemunculan Golongan
Proletariat
|
Taakulan
|
Selain daripada kemunculan kelas pertengahan,
Revolusi Perindustrian di Eropah juga telah melahirkan golongan kelas pekerja
kilang dan lombong yang dikenali sebagai proletariat. Golongan proletariat
ini terdiri daripada penganggur, pemintal dan penenun. Pada zaman Revolusi
Perindustrian mesin yang pada asalnya dikerjakan oleh golongan proletariat
dengan menggunakan tenaga mereka tidak lagi diperlukan. Sebaliknya mesin pada
zaman Revolusi Perindustrian yang menggunakan kuasa wap telah mengambil alih
peranan sebahagian besar golongan ini. Oleh itu, golongan tersebut hanya
mampu menawarkan tenaga buruh. Akibatnya, menjelang penghujung abad ke-18 dan
ke-19 golongan proletariat tadi dibayar gaji yang amat rendah kerana mesin
telah menggantikan kerja-kerja yang dijalankan oleh golongan tersebut sebelum
ini. Di Britain dan negara-negara
Eropah yang lain walaupun golongan ini berkerja lebih masa dari yang
sepatutnya mereka tetap tidak dapat mengatasi masalah kemiskinan. Keadaan ini
menyebabkan golongan para pekerja ataupun golongan proletariat berada dalam
kemiskinan walaupun pada ketika itu Eropah berada pada zaman Revolusi
Industri.
|
KESIMPULAN
|
(ulas semula soalan
dengan menyatakan pendirian menyokong soalan di samping terdapat ciri-ciri
lain).
Revolusi industri yang melanda
Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 telah membawa pelbagai impak terhadap
perkembangan ekonomi, sosial, dan politik masyarakat Eropah. Sebelum revolusi
industri, kegiatan ekonomi masyarakat Eropah masih lagi berpusatkan kepada pertanian
ataupun industri primer. Namun demikian, setelah tercetusnya revolusi
industri, masyarakat Eropah mula mengorak langkah ke arah penglibatan dalam
kegiatan ekonomi yang lebih pelbagai dan pada ketika ini industri sekunder
dan sektor ekonomi yang melibatkan perlombongan dan perkilangan semakin
berkembang maju. Perkembangan positif dalam kedua-dua sektor ekonomi tersebut
akhirnya turut mempengaruhi perkembangan sosial dan politik di Eropah.
|
SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH STPM P1 NEGERI PAHANG 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan