Selasa, 11 Oktober 2016

5. Perbezaan budaya barat dan budaya tempatan di China telah mencetuskan Perang Candu 1( 1839-1942). Bincangkan penyataan di atas.


Pengenalan

Perang Candu juga dikenali sebagai Perang Anglo-China merupakan kemuncak pertelingkahan perdagangan yang tercetus antara China di bawah pemerintahan kerajaan Manchu untuk menghalang British memasuki China dengan mengenakan pelbagai sekatan terutamanya menerusi Dikri Lapan Peraturan. Pelbagai isu atau faktor telah menimbulkan pertembungan antara kedua pihak antaranya isu perdagangan, perselisihan hubungan diplomatik, isu candu, perbezaaan sistem kehakiman atau perundangan menyebabkan penentangan masyarakat tempatan terhadap barat berlaku. Beberapa faktor yang bertentangan telah menimbulkan pertembungan kebudayaan antara China dan Barat menyebabkan Perang Candu I meletus pada 1839-1842.
FAKTA 1

Masalah perdagangan


TAAKULAN
Kawalan ketat ke atas perdagangan aing oleh orang Cina adalah berpunca daripada konsep perdagangan yang berbeza. Kerajaan China tidak berminat untuk menjalinkan hubungan perdagangan dengan mana-mana negara barat kerana China lebih mementingkan ekonomi sara diri. Sebagai sebuah negara pertanian, perdagangan dengan negara barat tiadak perlu kerana China dapat membekalkan sendiri keperluan negara. Tambahan pula perdagangan mengikut masayarakat China dianggap sebagai satu kegiatan yang hina dan dipandang rendah.Akibatnya Maharaja Chien Lung telah mengeluarkan satu dekri pada 1757 bagi menghadkan hubungannya dengan orang-orang barat terutama dari segi perdagangan. Kawalan yang ketat dikenakan ke atas pedagang-pedagang barat di Canton. Pada tahun 1835 sekali lagi Kerajaan Manchu telah mengenalkan undang-undang baru yang dikenali sebagai ‘Lapan Peraturan’ bagi melarang saudagar-saudagar barat berdagang di China.
           
Bagi orang-orang barat pula mengamalkan konsep perdagangan yang berbeza dengan China. Mereka mengamalkan perdagangan bebas atau laissez faire. Bagi Inggeris perdagangan antarabangsa sangat penting dan masyarakat pedagang dipandang tinggi. Inggeris perlu kepada perdagangan untuk mendapatkan bahan mentah untuk kilang dan pasaran barang keluaran kialng mereka. Inggeris memerlukan teh dan sutera dari China kerana ia mendapat permintaan yang tinggi di Britain.  Perdagangan dengan China penting tetapi China mengamalkan dasar isolasi.Sekatan-sekatan yang dibuat oleh China menyukarkan Inggeris dan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pedagang tambahan cohong selalu melakukan penyelewengan dan penyalah gunaan kuasa melibatkan orang asing. Dengan kedudukan istemewa cohong telah  mengenakan cukai yang tinggi, rasuah dan berhutang dengan pedagang asing. Rundingan-rundingan melalui utusan juga gagal dan akhirnya memaksa Inggeris melancarkan peperanggan.

FAKTA 2
Kegagalan hubungan diplomatik


Taakulan
Orang-orang Cina menganggap negara mereka sebagai pusat tamadun dunia (middle kingdom). Mereka menganggap semua orang asing sebagai orang gasar atau barbarian dan negara-negara asing dianggap sebagai kurang bertamadun dan patut tunduk kepada kedaulatan negeri China. Maharaja China dianggap sebagai son of heaven yang diberi mandat memerintah. Semua duta asing dianggap sebagai pembawa ufti yang mesti melakukan kowtow di depan maharaja. Penghantaran ufti dan amalan kowtow oleh pembawa ufti asing dianggap oleh China sebagai tanda pengiktirafan serta ketuanan China. Negara China juga menganggap kuasa-kuasa barat perlu menerima China sebagai kuasa ketuanan dan patut disanjung tinggi.
            Bagi kuasa barat konsep dan sikap ini tidak dapat diterima. Bagi mereka hubungan diplomatic di antara negara-negara patut dijalankan atas konsep persamaan taraf. Dasar ini dijalankan di Eropah akibat perkembangan aliran politik baru iaitu sosialisme, demokrasi dan liberalisme. Malangnya ia tidak dapat diterima oleh rakyat China kerana dianggap akan meruntuhkan keagungan peradaban mereka. Walau apapun tindakan Kerajaan Manchu Inggeris tetap menghantar utusan untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas konsep persamaan taraf.  Beberapa utusan telah dihantar ke China antara tahun 1793-1816 namun gagal mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dari China.
a)                1793 King George 111 telah menghantar George Ma Cartney ke Peking untuk berunding dengan Maharaja Chien Lung mengenai perdagangan dan hubungan diplomatic. Walaupun disambut baik tetapi rundingan gagal kerana masalah adat. Setiba di Peking beliau enggan melakukan kowtow kerana dianggap asing dan bertentangan dengan kebudayaan negaranya. Beliau juga tidak dapat menerima hakikat bahawa utusan dan hadiah dianggap sebagai tanda tunduk kepada Kerajaan Manchu. Sikapnya menimbulkan kemarahan Maharaja Chien Lung dan menolak perwakilan Mac Cartney.

b)                Pada tahun 1816, Lord Amherst telah dihantar ke Peking. Robongannya terus belayar ke Tientsin tanpa singgah di Canton. Utusan ini juga mengalami kegagalan kerana kengganan melakukan kowtow. Beliau juga dikatakan telah melanggar peraturan yang melarang orang asing berhubung terus dengan pegawai-pegawai kerajaan China sedangkan mereka perlu berhubung melalui Cohong di pelabuhan Canton.

c)                Lord William John Napier telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Inggeris di Canton pada tahun 1834 untuk menjaga kepentingan pedagang-pedagang dan ditugaskan juga untuk mewujudkan hubungan diplomatic atas konsep persamaan taraf. Beliau telah ditolak kerana tidak mengemukakan ‘surat ping’ iaitu surat kebenaran dari Cohong untuk berjumpa Gabenor Jeneral Canton. Akibatnya beliau terpaksa berundur ke Macao dan meninggal pada Oktober 1834.

d)               Sekali lagi Inggeris telah melantik
Charles  Elliot bagi mengantikan Napier pada 1839 dan beliau juga gagal. Kegagalannya menjalin hubungan secara langsung dengan pegawai-pegawai China telah menjadikan hubungan antara Inggeris dan China bertambah runcing. Akibatnya pihak Inggeris membuat keputusan untuk menggunakan kekerasan ke atas China iaitu melalui peperangan.


FAKTA 3
Masalah perundangan

TAAKULAN
           Perbezaan sistem perundangan juga menyulitkan lagi keadaan. Dalam sistem perundangan China, tidak wujud Badan Penasihat Undang-Undang sebagaimana yang diamalkan di barat dan kehakiman tertakluk kepada kuasa kerajaan semata-mata. Mengikut sistem keadilan China ‘ seseorang yang dituduh melakukan jenayah adalah dianggap salah sehinggalah kebenaran dapat dibuktikan’. Kerajaan China juga menjatuhkan hukuman berdasarkan ‘Doktrin Tanggung jawab Berkumpulan’. Mengikut doktrin ini jika terdapat individu  yang melakukan kesalahan tidak dapat dikesan, ahli kumpulan bertanggungjawab untuk menggantikan dengan orang lain.  Undang-Undang China juga menuntut nyawa dibalas nyawa. Lazimnya hukuman yang dikenakan kepada orang asing ialah cekik sampai mati.
           
Undang-undang barat pula menekankan konsep Tanggungjawab Individu dan seseorang yang dituduh melakukan kesalahan akan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Masalah berlaku apabila beberapa kes atau kejadian melibatkan orang-orang Inggeris. Contohnya peristiwa Lady Hughes pada  4 November 1784. Di mana kapal tersebut telah melakukan tembakan pengormatan apabila memasuki pelabuhan Whampoa malangnya tembakan tersebut secara tidak sengaja telah menyebabkan kematian dua orang Cina dan seorang cedera. Pihak berkuasa Canton meminta supaya anak kapal terlibat diserahkan dan dibicarakan mengikut undang-undang China jika enggan mereka akan menyerang kilang Inggeris dan memutuskan hubungan perdagangan. Anak kapal tersebut terpaksa diserahkan kepada kerajaan Manchu dan telah dicekik sampai mati. Pada tahun 1821 berlaku pula Peristiwa Terranova. Ia adalah bangsa Itali yang bekerja di atas kapal Amerika bernama Emily. Beliau dituduh menyebabkan kematian dua orang wanita Cina. Demi memelihara hubungan perdagangan beliau diserahkan kepada Kerajaan China dan ia juga dicekik sampai mati. Peristiwa seterusnya yang mencetuskan ketegangan ialah Peristiwa Lin Wei His yang telah dipukul hingga mati oleh anak-anak kapal Inggeris yang mabuk dan bergaduh di Kowloon. Inggeris enggan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa China dan dibicarakan mengikut undang-undang barat.  China pula mendesak supaya mereka diserahkan kepada China untuk diadili. Keengganan Inggeris telah mencetuskan ketegangan antara dua pihak dan akhirnya membawa kepada perang.

FAKTA 4
Masalah candu


           Oleh kerana penolakan hubungan perdagangan dan sekatan-sekatan yang dikenakan menyebabkan hubungan per dagangan satu hala yang menyebabkan kerugian kepada Inggeris.Inggeris terpaksa mengelurkan perbelanjaan yang lebih untuk membeli teh dan sutera. Tambahan pula Inggeris hanya dibenarkan menggunakan wang emas dan perak untuk berdagang. Untuk mengimbangi aliran keluar wang ke China dengan banyak Inggeris telah membawa masuk candu dengan banyak secara haram dari India dan Turki. Candu kemudian menjadi barang kegemaran masyarakat China. Pada tahun 1839 dianggarkan sebanyak 4 juta rakyat China menghisap candu. Bagi British perdagangan candu telah membawa keuntungan yang besar. Pada tahun 1832 SHTI telah mengaut keuntungan sebanyak 10 juta rupee dan pada 1838 menjadi 30 juta rupee.
           
Perdagangan candu menyebabkan aliran wang keluar China tidak dapat mengimbani perdagangannya dengan barat. Pada tahun 1838 dan 1839 nilai wang perak yang dialirkan keluar berjumlah 37.9 juta paund.  Kemasukan candu juga menyebabkan masalah kesihatan dan sosial. Berbagai usaha dijalankan untuk menghalang perdagangan ini contohnya 2 Jun 1838 Maharaja Tao Kuang telah mengharamkan perdagangan candu dan hukuman berat akan dikenakan kepada siapa yang melanggar arahan. Lin Tze Hsu Pesuruhjaya Tinggi di Canton pula telah dilantik untuk menghapuskan candu. Antaranya beliau telah merampas dan memusnahkan candu pada 3 Jun 1839 di Hu Men dan saudagar-saudagar asing diminta menandatangani surat untuk tidak berdagang candu di China. Kapten Charles Elliat selaku Ketua Penguasa Perdagangan Inggeris tidak bersetuju dan telah membawa Lord Palmerstone untuk menuntut ganti rugi dari Kerajaan China terhadap candu yang dimusnahkan tetapi gagal. Hubungan semakin runcing apabila Lin telah mengenakan larangan penjualan makanan dan keperluan lain kepada Inggeris di Macao dan meminta bantuan Perancis mengusir Ingeris. Ogos 1839 orang-orang Inggeris meninggalkan Macao dan berpindah ke Hong Kong. Kedegilan keduanya akhirnya menyebabkan peperangan tidak dapat dielakkan.


KESIMPULAN

Peperangan telah menyebabkan China kalah ditangan British. Kekalahan China menyebabkan mereka terpaksa menandatangani Perjanjian Nangking yang menyebabkan Inggeris dapat memulakan langkah  di China dan  menyebabkan maruah China sebagai negara yang bertamadun tinggi jatuh seterusnya terpaksa membuka negaranya kepada perdagangan barat dan menamatkan dasar isolasi secara terpaksa.






 SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH STPM P1 NEGERI PAHANG 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan