Soalan: FOKUS STPM P1 Bandingkan
sistem feudal yang diamalkan di Jepun dengan sistem feudal yang diamalkan di
England pada abad ke-16.
Sistem feudal merujuk kepada
sebuah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil kerajaan
pusat. Di Eropah, sistem feudal dikatakan berasal dari empayar Rom dan di Jepun
pula, sistem ini sudah bermula sejak zaman Kamakura. Terdapat persamaan dan
perbezaan di antara sistem feudal yang diamalkan di England dengan di Jepun.
Persamaan sistem feudal yang diamalkan
di England dan di Jepun dapat dilihat dalam beberapa aspek. Persamaan pertama
ialah dari aspek sistem kelas di dalam masyarakat. Masyarakat terbahagi kepada
dua iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri
daripada golongan bangsawan manakala golongan diperintah terdiri daripada
petani, rakyat biasa dan hamba.
Persamaan seterusnya ialah,
kurangnya berlaku mobiliti sosial di dalam masyarakat. Jarang berlaku perubahan
status dalam masyarakat feudal. Sebagai contoh, jika dilahirkan sebagai anak
petani, maka akan terus menjadi petani. Hal ini bertepatan dengan ciri sistem feudal iaitu kedudukan seseorang
adalah berdasarkan sistem kelas atau
hierarki.
Selain itu, masyarakat feudal
di England dan Jepun sering berdepan dengan peperangan. Kehidupan masyarakat di
kedua-dua negara agakhuru-hara. Situasi ini menyebabkan golongan knight di
England dan samurai di Jepun memainkan peranan yang sangat penting. Kedua-dua
golongan ini berkhidmat dan terikat dengan golongan bangsawan sebagai tentera.
Peralatan perang yang digunakan juga sama iaitu kuda, pedang dan baju perisai.
Perbezaan di antara sistem
feudal yang diamalkan di England dan Jepun pula boleh dilihat dari aspek binaan
istana. Istana di Eropah dibina daripada batu manakala istana di Jepun
diperbuat daripada kayu. Dari segi pemilikan tanah pula, golongan knight di
Eropah mendapat tanah sebagai ganjaran atas perkhidmatan sebagai tentera. Di
Jepun pula, golongan samurai tidak
memiliki tanah kerana daimyo membayar gaji samurai dalam bentuk beras.
Perbezaan seterusnya ialah dari
aspek pengukuhan negara bangsa. Pengukuhan negara bangsa di England dilakukan
oleh raja-raja Tudor yang memerintah dengan cekap. Di Jepun pula, penyatuan dan
keamanan negara dilaksanakan oleh jeneral tentera. Dari aspek perundangan pula,
masyarakat feudal di Eropah mengamalkan konsep undang-undang Rom yang
menekankan hak, undang-undang dan kewajipan. Masyarakat feudal di Jepun pula
dipengaruhi oleh etika China yang menekankan aspek moral melebihi
undang-undang.
Jelas terbukti bahawa sistem
feudal yang diamalkan di England dan di Jepun mempunyai persamaan terutama
berkaitan sistem kelas masyarakat,
peperangan dan mobiliti sosial dalam masyarakat. Walau bagaimanapun
terdapat juga perbezaan dari aspek
binaan istana, pemilikan tanah, penyatuan negara bangsa dan konsep perundangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan